Debaran Piala Super UEFA

ISTANBUL, 13 OGOS – Jurgen Klopp mahu Liverpool menjadikan memenangi trofi sebagai tabiat ketika mereka menuju kembali ke Istanbul untuk berdepan dengan pesaing Liga Perdana, Chelsea, bagi saingan Piala Super pada pagi Khamis.

Memori Istanbul kelab Anfield itu adalah menewaskan AC Milan menerusi penentuan sepakan penalti sekali gus menjuarai Liga Juara-Juara pada 2005, dan kini mereka berdepan Chelsea di bandar Turki itu selepas menjadi juara Eropah buat kali keenam pada Jun. Pembuka tirai bagi musim Eropah itu secara tradisinya jarang menjadi tumpuan ramai, namun kedua-dua kelab tidak akan mensia-siakan peluang untuk merebut lebih banyak trofi, dengan Liverpool baharu sahaja menamatkan kemarau trofi selama tujuh tahun dan Frank Lampard mahu memulakan kerjayanya di Chelsea dengan sebaik mungkin.

Sementara itu, antara protagonis pada perlawanan itu nanti ialah Stephanie Frappart, di mana pengadil dari Perancis itu akan menjadi wanita pertama untuk mengadili perlawanan bola sepak utama lelaki di kejohanan Eropah. – AFP

Skrin menunjukkan jadual Piala Super UEFA yang akan menyaksikan perlawanan antara Liverpool dan Chelsea di Istanbul. – AP