LOUISIANA – Ketika Angelina Rivera berada di Tahun 3, dia bercita-cita menjadi seorang saintis dan amat teruja dengan serangga, batu dan segala yang berkaitan alam semula jadi.
Namun, satu perjalanan keluarga ke Honduras untuk melawat saudara-mara telah mengubah pandangannya. Polis menghentikan kereta mereka dan menyoal siasat bapanya secara agresif berhubung satu jenayah yang dilakukan oleh orang lain pada malam sebelumnya.
Pengalaman itu, ketika Rivera baru berusia lapan tahun, meninggalkan kesan yang mendalam, menyedarkannya bahawa seseorang boleh dilayan secara berbeza hanya kerana penampilan atau lokasi mereka.
Dari situ, minatnya beralih kepada bidang politik. Selepas menamatkan pengajian dalam hubungan antarabangsa di universiti, Rivera, kini berusia 22 tahun, bekerja sebagai pembantu di Konsulat Jeneral Jepun di Detroit.
“Semakin saya teroka pelbagai minat… saya dapati sukar untuk mengabaikan dorongan dan panggilan hati untuk menceburi bidang diplomasi,” katanya.
Kadangkala laluan kerjaya bermula secara lurus, berasaskan cita-cita awal yang kemudian memandu seseorang ke arah latihan atau pengajian serta kerjaya tertentu.
Namun, tidak kurang juga yang dibentuk oleh keadaan, tuah, pendedahan serta kesediaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan.
Pakar psikologi perkembangan dan kaunselor kerjaya menyarankan agar kanak-kanak didedahkan kepada pelbagai jenis kerjaya seawal mungkin.
“Bukan supaya mereka terus memilih kerjaya, tetapi supaya mereka sedar bahawa terdapat banyak peluang dan tidak menghadkan diri sejak awal,” kata Profesor Jennifer Curry dari Universiti Negeri Louisiana, yang mengkaji kesediaan pelajar terhadap kerjaya dan pengajian tinggi.
Menurutnya, ada kalanya kanak-kanak merasakan mereka tidak layak untuk pekerjaan tertentu kerana jantina, kaum atau latar belakang mereka.
“Itulah yang kita cuba elakkan kerana kanak-kanak sudah mula mengehadkan diri seawal usia lima tahun,” tambahnya.
PENDEDAHAN KEPADA PELBAGAI PEKERJAAN
Seawal usia anak damit dan kanak-kanak, mereka sudah mula memahami dunia pekerjaan contohnya ketika melawat klinik kanak-kanak atau melambai kepada pemandu lori sampah.
Galakkan rasa ingin tahu mereka dengan menunjuk kepada individu yang bekerja di pejabat pos, kedai roti, mahupun watak dalam buku dan rancangan TV.
“Anda boleh tanya soalan seperti ‘Pekerjaan apa yang kamu nampak? Apa yang mereka lakukan?’,” ujar Curry, yang turut menjadi penasihat kandungan kerjaya bagi rancangan PBS Skillsville, khas untuk kanak-kanak berumur empat hingga lapan tahun.
Apabila kanak-kanak mengenal pasti pelbagai jenis pekerjaan dalam komuniti, mereka boleh mencuba peranan tersebut ketika bermain di rumah.
Jika mereka gemar berpura-pura menjadi doktor, ibu bapa boleh terangkan bahawa jururawat, juru-X-ray dan penyambut tetamu juga bekerja di hospital.
Jika mereka suka membina bangunan dengan blok Lego, ceritakan tentang peranan arkitek, pekerja binaan, tukang batu dan tukang kimpal dalam membina jambatan sebenar.
“Jika kita memberikan mereka pendedahan yang meluas dan bertanya, ‘Bagaimana kalau kamu bekerja dalam kerjaya ini? Nampaknya kamu suka perkara ini,’ ia boleh membuka peluang untuk mereka melihat potensi dalam diri,” jelas Curry.
Banyak kerjaya yang tidak disebut dalam buku bacaan awal kanak-kanak, yang biasanya menampilkan anggota polis, bomba atau doktor.
Disebabkan tiada buku kanak-kanak tentang hubungan awam, Curtis Sparrer menulis sendiri satu buku, menampilkan watak berusia 10 tahun sebagai peneraju utama.
Sparrer, pengasas bersama agensi PR Bospar, mahu membantu kanak-kanak memahami kerjaya sebenar tidak seperti zaman kecilnya yang menyangka pelakon bermaksud menjelajah angkasa lepas.
Sebelum menemui minatnya dalam PR, dia bekerja dalam produksi televisyen, tetapi tidak menyukai syif malam yang panjang.
“Sebaik sahaja anda tahu apa yang anda benar-benar suka dan kenapa anda suka, anda boleh fokus kepada minat sebenar,” katanya.
PADANAN KERJAYA DENGAN PERSONALITI
Selain minat dalam sesuatu topik, personaliti juga memainkan peranan. Kanak-kanak sejak awal tahu sama ada mereka selesa bersosial atau lebih suka bersendirian, suka aktiviti fizikal atau membaca.
“Kita boleh bantu mereka kenal pasti apa yang mereka cenderung minati dan kaitkan dengan kerjaya tertentu,” kata Maria Flynn, Ketua Pegawai Eksekutif Jobs for the Future, sebuah organisasi bukan untung yang memfokuskan kepada pendidikan dan peluang pekerjaan.
Contohnya, ketika anaknya bermain permainan video bersama rakan, Flynn melihat kemahiran komunikasi yang baik dan menunjukkan bahawa memberikan arahan jelas dan menyelesaikan masalah bersama boleh menjadi aset penting dalam kerjaya masa depan.
Beberapa sekolah menengah di Amerika Syarikat kini menawarkan kursus elektif dalam bidang seperti pemasaran, sains komputer dan penjagaan kesihatan.
Terdapat juga pelaburan semula dalam kursus vokasional seperti pertukangan kayu, kimpalan dan mekanik bidang yang pernah dipinggirkan kerana fokus sistem pendidikan terhadap kemasukan ke universiti.
Sesetengah sekolah menengah rendah juga mula menawarkan kursus eksplorasi kerjaya.
“Kita patut bantu mereka lihat seawal peringkat menengah rendah apa itu perantisan? Bagaimana ia berfungsi? Bagaimana struktur gajinya? Apa pilihan yang ada dalam sekolah kemahiran?” kata Flynn.
Golongan muda kini semakin mempersoalkan nilai ijazah empat tahun disebabkan kos yang meningkat, beban hutang dan kesukaran mendapatkan kerja.
Ramai yang mahu bekerja sambil belajar pada masa yang sama.
Menurut Pusat Penyelidikan Pendaftaran Pelajar Kebangsaan AS, kemasukan ke program kolej dua dan empat tahun masih rendah berbanding sebelum pandemik COVID-19.
Sebaliknya, pendaftaran dalam program vokasional dua tahun yang menekankan pembelajaran kemahiran telah meningkat dan melepasi paras sebelum pandemik.
“Orang ramai kini semakin sedar akan manfaatnya,” kata Catherine Imperatore, Pengarah Penyelidikan dan Kandungan di Persatuan Pendidikan Kerjaya dan Teknikal, sebuah organisasi bukan untung yang memperjuangkan inisiatif kesediaan kerjaya.
Program yang menawarkan sijil dalam bidang teknologi maklumat dan penjagaan kesihatan, misalnya, kini menjadi laluan alternatif ke arah pekerjaan yang stabil dan gaji yang baik, katanya.
PERANAN KECERDASAN BUATAN
Selain pendedahan awal kepada pelbagai laluan kerjaya melalui perbualan dan pendidikan formal, pakar menyarankan ibu bapa memperkenalkan konsep kecerdasan buatan (AI) kepada anak-anak kerana ia semakin membentuk dunia pekerjaan masa kini.
Majikan kini mencari pekerja yang boleh memanfaatkan AI untuk menjadikan tempat kerja lebih efisien, tetapi ramai pekerja masih tidak mahir menggunakannya, kata Hadi Partovi, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Code.org, sebuah pertubuhan bukan untung yang memperluas akses pelajar sekolah kepada pendidikan sains komputer.
Partovi menggalakkan ibu bapa dan guru membantu anak-anak belajar tentang AI seawal mungkin. Misalnya, mereka boleh berbincang bersama murid Tahun 1 dan 2 tentang kebaikan dan keburukan kereta pandu sendiri.
Beliau juga menyarankan agar kanak-kanak diajar menulis atur cara komputer sebaik sahaja mereka pandai membaca malah, kanak-kanak prasekolah pun boleh mula mempelajari kemahiran asas.
Bagi ibu bapa yang tidak biasa dengan AI, mereka boleh belajar bersama anak sambil menggalakkan kemahiran jangka panjang seperti ketahanan diri, rasa ingin tahu, kerjasama dan kerja berpasukan, kata Flynn.
“Kita hidup dalam dunia yang sentiasa berubah, jadi penting untuk anak-anak mula membiasakan diri bahawa segalanya bergerak dan berubah dengan pantas,” kata Partovi.
“Mengajar kanak-kanak cara memanfaatkan AI akan menjadi perkara paling penting selepas kemahiran membaca dan menulis.” – ANN/The Star