Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dedah anak terhadap kerjaya di StanChart

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Sebagai sebahagian daripada budaya kerja inklusif di tempat kerja, Bank Standard Chartered (StanChart) telah menganjurkan Teens at Work untuk rakan sekerja membawa anak-anak mereka ke tempat kerja untuk belajar lebih mendalam mengenai bank berkenaan dan kerjaya di sana.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan StanChart, kira-kira 20 orang anak-anak pekerja bank, yang berumur antara 13 hingga 18 tahun, mengikuti program setengah hari tersebut yang memberi mereka gambaran mengenai bank.

    Program dimulakan dengan pertemuan secara maya dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim sebelum disusuli dengan ceramah mengenai pelaburan.

    Para peserta turut mendengarkan penerangan daripada beberapa orang kakitangan bank tersebut tentang kerjaya mereka. Sesi diakhiri dengan bengkel menulis mini resume.

    Ketua Hal Ehwal Korporat, Jenama dan Pemasaran, Marilyn Graeme yang menganjurkan program tersebut antara lain menzahirkan keterujaannya kerana dapat menjayakan program seumpamanya yang diharap dapat membantu para peserta untuk menggunakan potensi masing-masing dalam merebut peluang yang tersedia selain mengembangkan potensi mereka.

    Kenyataan menyatakan bahawa StanChart merupakan salah sebuah organisasi yang komited dalam mempromosikan kesaksamaan dalam tempat kerja, menyediakan budaya yang inklusif dan fleksibel di mana semua orang dapat menyedari potensi penuh mereka tanpa mengira latar belakang dan memberikan sumbangan yang positif kepada organisasi.

    Anak-anak kakitangan StanChart mendengarkan penerangan yang diadakan semasa program itu. – Gambar serahan StanChart Brunei
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda