Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Dedah Brunei kepada warga Jepun

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Dalam usaha untuk meningkatkan keterlihatan Negara Brunei Darussalam kepada perkhidmatan pelancongan dan menggalakkan lebih ramai warga Jepun untuk meneroka serta mengenali warisan budaya kaya negara, Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) akan mengambil bahagian dalam Ekspo Pelancongan Jepun 2023 yang berlangsung di Osaka, Jepun.

    Ekspo berprestij yang bermula dari 26 hingga 29 Oktober itu merupakan salah satu daripada pesta pengembaraan tahunan terbesar di dunia di mana ia merupakan sebuah platform global sejak penubuhannya pada 2014, yang menyatukan negara-negara dan rantau dari serata bumi.

    Pada 2023, acara itu kembali ke Osaka atas permintaan yang tinggi daripada warga Osaka dan rantau Kansai di mana ia menyediakan peluang keemasan bagi Brunei untuk mengetengahkan budaya, tradisi dan pengalaman pelancongan serta pada masa yang sama, mengukuhkan hubungan pelancongan dua hala di antara Brunei dan Jepun.

    Penyertaan Jabatan Kemajuan Pelancongan dalam ekspo itu diharap dapat menggalakkan lebih ramai warga Jepun untuk menerokai kekayaan warisan budaya, perkhidmatan pengembaraan menarik serta keindahan alam semula jadi yang ditawarkan oleh Brunei.

    Pada masa yang sama, jabatan berkenaan juga ingin meneroka dalam pelancongan pendidikan Jepun yang berpotensi luas dengan menumpukan kepada memupuk pertukaran kebudayaan dan akademik di antara Brunei dan Jepun.

    Gambar fail menunjukkan penyertaan Jabatan Kemajuan Pelancongan dalam ekspo pelancongan. – Gambar serahan Jabatan Kemajuan Pelancongan

    Usaha strategik itu akan membuka laluan baharu untuk pelajar dan cendekiawan untuk mendalami diri mereka dalam warisan unik dan peluang-peluang akademik di Brunei.

    Bagi membina hubungan dan rangkaian yang bernilai, program itu juga termasuk sesi rangkaian khas dengan agensi-agensi Jepun di Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Tokyo pada 30 Oktober nanti.

    Di samping itu, Sesi Konsultasi Satu-sama-Satu dengan Japan School Tours Bureau di Tokyo juga dijadualkan pada 31 Oktober.

    Turut serta dengan Jabatan Kemajuan Pelancongan di ekspo berkenaan adalah Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), The Empire Brunei, Darussalam Services, Pan Bright Travel Services, Sunshine Borneo Tour and Travel, Bonasia Holiday Management Services Sdn Bhd dan Pusat Pengajian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan pendedahan pelancongan Negara Brunei Darussalam, jabatan berkenaan berhasrat untuk menjana kesan yang berkekalan, mengu-kuhkan hubungan sedia ada dan menjana kerjasama yang
    baharu.

    Pada masa yang sama, jabatan itu juga berhasrat untuk bertukar-tukar pengetahuan, mengalakkan pengayaan budaya dan menarik lebih ramai pengembara Jepun untuk berkunjung ke Brunei.

    Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut aktiviti yang dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan boleh melayari Instagram, @info.bruneitourism.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...