Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Pada masa ini, terdapat banyak peluang bagi kanak-kanak untuk didedahkan kepada teknologi pada usia yang muda, oleh itu, pendedahan kepada kemahiran pengaturcaraan atau pengekodan bukan sahaja amat berguna bagi mereka pada masa sekarang tetapi juga pada masa hadapan.
“Kami percaya bahawa jika mereka mempunyai kemahiran berkenaan sekarang, ia akan membantu mereka pada masa hadapan dan juga membantu masa hadapan negara kerana negara memerlukan awda bagi membangunkan pelbagai perisian menarik bagi negara.”
Perkara itu dijelaskan oleh Ketua Perkhidmatan Korporat, Dinamik Technologies, Dayang Siti Rozana binti Dato Haji Mohd Yunos dalam kata alu-aluannya pada Program Pendidikan, Brunei Kids Can Code yang berlangsung di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Anggerek Desa, hari ini. Beliau berkata lagi, Dinamik Technologies percaya bahawa pengekodan merupakan kemahiran mustahak pada masa ini dan pada masa hadapan di mana teknologi terus membangun dan akan dimanfaatkan dalam semua aspek kehidupan.
Oleh itu, beliau juga yakin menerusi pengenalan kemahiran pengekodan pada usia yang muda, ia akan menjana serta memupuk minat dalam golongan muda untuk mempelajari serta mengembangkan kemahiran dalam bidang pengekodan.
Dayang Siti Rozana menambah bahawa kemahiran pengaturcaraan merupakan satu kemahiran yang amat dicari di Dinamik Technologies dan ke arah itu, pihaknya ingin memupuk kemahiran berkenaan dalam golongan muda negara bagi masa hadapan mereka dan juga bagi masa hadapan negara.


Brunei Kids Can Code merupakan program menyeronokkan dan inovatif yang dikendalikan oleh Dinamik Technologies dengan kerjasama BISTEC Global di mana ia bermatlamat untuk mengajar pelajar-pelajar muda keseronokan dalam bidang pengekodan serta merupakan kegiatan bermanfaat bagi mereka untuk mengembangkan lagi daya pemikiran kritikal serta kreatif masing-masing.
Seramai 50 orang peserta menyertai program yang dimulakan dengan pertandingan pengekodan interaktif yang bermula hari ini hingga 11 September di Taman Teknologi Anggerek Desa.
Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori usia iaitu Syntax Ninja bagi peserta berusia lapan hingga 12 tahun dan Code Pirates bagi peserta berusia 13 hingga 16 tahun di mana mereka berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai di peringkat akhir pertandingan nanti.
Pertandingan itu dimulakan dengan sesi pengenalan dan demonstrasi pengekodan yang disampaikan oleh dua orang sukarelawan pelajar iaitu Haris Walker dan Danial Yusuf bagi membiasakan para peserta dengan peralatan pengekodan sebelum mereka dapat mengetengahkan kemahiran masing-masing untuk menguji serta menangani pelbagai cabaran untuk menempah tempah dalam pertandingan berkenaan.
Selepas pertandingan itu, para peserta secara automatik menerima keahlian dalam Kelab Brunei Kids Can Code di mana kelas-kelas pengekodan akan diadakan setiap bulan untuk mengembangkan lagi keupayaan pengaturcaraan mereka.