Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jan – Bagi memastikan keselamatan semasa Sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi, Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan kerjasama Jawatankuasa Tokong Cina (Bandar Seri Begawan) telah mengadakan sesi taklimat mengenai keselamatan kebakaran.
Taklimat mengenai peralatan memadam api berkenaan telah dihadiri oleh warga Tokong Cina berkenaan dan disampaikan oleh pegawai dan anggota daripada Bahagian Perhubungan Awam Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat yang diketuai oleh Ketua Perhubungan Awam, Pemangku Penguasa Bomba Noorzali bin Apong.
Selepas sesi taklimat, satu demonstrasi dan praktikal penggunaan alat pemadam api dengan cara yang betul turut diadakan dan dilakukan oleh Pegawai Balai Pengiran Mohd Ali Rahman bin Pengiran Haji Salleh dan dibantu oleh anggota bomba 959 Pengiran Izzul Hakim bin Pengiran Haji Ibrahim.
Taklimat tersebut antara lain bertujuan untuk memastikan setiap premis atau tempat-tempat penyembahan atau sembahyang adalah selamat, terhindar daripada bahaya kebakaran dan mempunyai peralatan memadam kebakaran yang mencukupi, bersesuaian dan baik serta penghuni premis mempunyai pengetahuan khususnya tatacara pemakaian alat pemadam api mudah alih.
