Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dedah pelajar cintai Al-Quran

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Dalam usaha memberi pendedahan kepada pelajar untuk mendekatkan dan mencintai Al-Quran di peringkat awal lagi, Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop, baru-baru ini mengadakan aktiviti bagi murid-murid kelas Al-Quran dan Muqaddam masjid berkenaan.
     
    Aktiviti sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 (HK40) itu dibahagikan kepada tiga kategori pertandingan iaitu kategori A, menulis jawi bagi murid berumur enam hingga lapan tahun.
     
    Kategori B pula menghafaz Surah Quraisy hingga An-Nas bagi murid berumur antara sembilan hingga 11 tahun, dan kategori C menghafaz Surah Ad-Duha hingga Al-Fill bagi murid-murid berumur 12 hingga 17 tahun.
     
    Pada majlis itu, hadiah-hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh imam masjid berkenaan, Haji Jofri bin Haji Abidin.
     
    Antara lain tujuan pertandingan adalah untuk melibatkan murid-murid kepada program keagamaan dan sama-sama menyemarakkan lagi sambutan HK40 seterusnya mengeratkan silaturahim antara murid dan guru.
     
    Penolong Guru Penghubung, Awang Mohamad Omar Afiq Hasyir bin Haji Ismail dan Guru Kelas Al-Quran dan Muqaddam, Awang Sophian bin Haji Salleh memberikan komen terhadap bacaan murid dalam pertandingan itu yang keseluruhan di tahap sederhana.
     
    “Mereka masih keliru dari segi panjang dan pendek bacaan tetapi ada juga murid boleh membawakan lagu muratal nahawand dalam pertandingan tersebut.”
     
    Selain itu, mereka menyarankan murid-murid untuk memperbanyakkan membaca Al-Quran terutama pada bulan Ramadan yang mulia ini.
     
    Aktiviti berkenaan diadakan buat kali kedua setelah wabak COVID dan sambutan penyertaan daripada murid-murid kelas Al-Quran dan Muqaddam sangat menggalakkan.
     
    Antara pelajar yang turut serta semasa program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN MASJID MOHAMED BOLKIAH
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda