Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Dalam usaha mendedahkan kemampuan pelajar dalam bidang kreativiti dan akademik, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban (PPHT) telah menghantar pelajar untuk ikut serta dalam pertandingan peringkat antarabangsa.
Dalam pertandingan International Innovation Competition kali ke-3 (INNOCOM III) anjuran Academic International Dialogue (AID) Academy, Malaysia dengan kerjasama Universitas Gunadarma, Indonesia, baru-baru ini, UNISSA telah berjaya meraih piala emas dan perak.
Pertandingan tersebut telah disertai lebih 100 penyertaan dan dinilai oleh 44 orang juri dari pelbagai universiti di Malaysia melalui pembentangan video YouTube.
UNISSA menerusi projek Ehtaj – Home Kitchen Composter Device Produce Halal Eco-Friendly Fertilizer, yang membincangkan ‘permasalahan pengurusan sisa di Brunei sangat membimbangkan’ telah dinobatkan sebagai pemenang piala emas dan peserta terbaik bagi kategori kertas abstrak lanjutan dalam kategori Sains Sosial (Idea Inovasi).
Kumpulan tersebut mendapat idea untuk menghasilkan satu alat yang membolehkan pengkomposan sisa-sisa makanan menjadi baja organik. Baja organik itu sangat bermanfaat kepada tumbuh-tumbuhan kerana ia memberi nutrien tambahan kepada tumbuh-tumbuhan.
Kumpulan kedua pula menerusi projek BruHalal Apps telah membincangkan permasalahan kandungan e-kod dalam makanan yang menimbulkan keraguan. Kumpulan itu telah menghasilkan satu aplikasi yang boleh memudahkan pengguna tahu status kandungan e-kod berkenaan sebelum memutuskan untuk membeli produk makanan tersebut, sekali gus berjaya memenangi piala perak dan Abstrak Lanjutan Terbaik dalam Kategori Sains dan Teknologi (Projek Inovasi).



