Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai peluang pekerjaan kepada para pelajar setelah menamatkan pengajian, Pusat Kerjaya Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains) buat julung kalinya telah menganjurkan Pameran Kerjaya 2019 yang diadakan di maktab berkenaan, hari ini.
Kira-kira 30 buah agensi dari pelbagai institusi seperti Kementerian Pendidikan, agensi-agensi kerajaan dan organisasi bukan kerajaan turut menyertai acara berkenaan bermula dari jam 8 pagi hingga 4 petang itu.
Hadir pada acara berkenaan ialah Pengetua Maktab Sains, Hajah Susilawati binti Dato Paduka Haji Muhammad sekali gus berkesudian membuat lawatan ke pameran kerjaya berkenaan.
Sementara itu, turut diadakan ialah taklimat kerjaya mengenai pelbagai bidang kerjaya seperti bidang keusahawanan, kejuruteraan, hospitaliti dan pelancongan, perundangan dan banyak lagi yang disampaikan oleh pihak-pihak yang berkaitan.
Antara agensi yang terlibat menjayakan pameran kerjaya berkenaan ialah Syarikat Penerbangan Diraja Brunei, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Unit Biasiswa Kementerian Pendidikan, Universiti Brunei Darussalam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Institut Kemuda, Kolej IGS, Kolej Antarabangsa Micronet, Kolej Perdagangan Laksamana, CfBT Services, Institut Mahakarya, Findlay (B) Sdn Bhd, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, WeCare, SCOT, Teachmeguru dan sebagainya.
Melalui pameran seumpama ini, para pelajar khususnya pelajar Tahun 9 hingga pra universiti berpeluang untuk bertanya secara langsung kepada para perwakilan agensi yang terlibat selain dapat menyuntik semangat dalam diri pelajar untuk berusaha dengan lebih gigih mencapai segala cita-cita dan kemahuan mereka pada masa akan datang nanti.