MALAYSIA – Resusitasi kardiopulmonari (CPR) ialah prosedur kecemasan kritikal masa yang menyelamatkan nyawa dan setiap orang harus dilengkapi dengan kemahiran tersebut.
Baru-baru ini, seorang remaja lelaki kelainan upaya berusia 17 tahun telah diselamatkan selepas menerima bantuan CPR daripada orang awam dan dibawa ke hospital.
Dia dan seorang wanita berusia 34 tahun nyaris lemas selepas bot yang mereka naiki karam di Pantai Teluk Batik, Perak, Malaysia pada 28 Ogos lalu.
Mereka dibawa ke pesisiran pantai dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam sebelum anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat tiba di tempat kejadian.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat 591 kematian akibat lemas dalam kalangan kanak-kanak berumur 0 hingga 14 tahun antara 2017 dan 2021.
Antara Januari dan April tahun ini sahaja, sebanyak 97 kematian akibat lemas dilaporkan.
Pakar menjelaskan apabila jantung seseorang berhenti berdegup, CPR perlu segera dilakukan oleh siapa sahaja yang berdekatan dengan mangsa. Oleh itu, adalah penting untuk memberikan kepada semua orang kemahiran menyelamatkan nyawa ini.
Tindakan tekanan dada manual dalam CPR adalah suatu gerakan yang dapat membantu mempertahankan aliran darah ke organ-organ penting, dengan harapan dapat meningkatkan kemungkinan bertahan hidup mangsa sehingga petugas yang terlatih tiba di lokasi kejadian, jelas doktor perubatan kecemasan Universiti Malaya, Dr Anhar Kamarudin.
“Serangan jantung ialah perubatan kecemasan yang berlaku apabila jantung berhenti berfungsi secara tidak dijangka, menjejaskan bekalan darah ke otak dan organ penting lain, yang menyebabkan tidak sedarkan diri dan akhirnya kematian.
“Punca paling biasa bagi serangan jantung adalah disebabkan irama jantung yang tidak normal seperti takikardia ventrikel dan fibrilasi ventrikel, yang berlaku apabila terdapat kerosakan sistem elektrik pada jantung yang berpenyakit,” katanya kepada StarEdu.
Naib Pengerusi Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM), Profesor Madya Dr Abdul Ali Raja Mohamed berkata CPR perlu dilakukan dengan segera dan defibrilasi dengan defibrilator luaran automatik (AED) mesti dilaksanakan dalam tempoh dua minit pertama untuk hasil yang baik ke atas seseorang yang mengalami serangan jantung secara tiba-tiba.
“Ramai mempunyai pendapat yang salah bahawa CPR mesti dilakukan hanya oleh pekerja penjagaan kesihatan, iaitu doktor, paramedik dan jururawat, tetapi satu-satunya orang yang boleh melakukannya dalam tempoh dua minit pertama di luar hospital adalah ahli keluarga atau orang awam di sebelah mangsa.
“Oleh itu, timbul keperluan untuk setiap orang secara sukarela melakukan kemahiran menyelamatkan nyawa ini,” katanya.
Menyokong agar CPR diajar di sekolah, ketua komander St. John Ambulans Malaysia (SJAM), Datuk Lai See Ming berkata, ia sangat bermanfaat dan boleh memberi impak besar dalam menyelamatkan nyawa.
“Pelajar boleh mula belajar CPR seawal usia 10 tahun kerana memulakan latihan pada usia yang lebih muda di sekolah boleh memberi manfaat yang luas, memupuk budaya kesediaan, tanggungjawab dan pengetahuan menyelamatkan nyawa dalam kalangan generasi muda.
“Apabila mereka menjadi dewasa, mereka boleh meneruskan pensijilan yang lebih lanjut dan mempertimbangkan kerjaya dalam penjagaan kesihatan atau tindak balas kecemasan,” katanya.
Bersetuju dengan perkara itu, Dr Anhar berkata, penggabungan CPR dalam kurikulum sekolah bukanlah sesuatu yang luar biasa.
“Di Denmark, kadar resusitasi yang dilakukan oleh pemerhati meningkat hampir dua kali ganda lima tahun selepas arahan CPR mandatori ditambah dalam kurikulum sekolah dan kadar kelangsungan hidup berikutan serangan jantung di luar hospital meningkat tiga kali ganda dalam 10 tahun,” kata Dr Anhar.
Dr Abdul Ali, menambah bahawa di Finland, 95 peratus penduduk tahu cara melakukan CPR kerana mereka diajar berulang kali dalam sistem sekolah mereka.
Melatih komuniti sekolah
Sebagai penyedia kursus sokongan hayat asas (BLS) dan CPR, SJAM dan MRCS mempunyai rangka kerja untuk menyokong pelaksanaan tersebut.
Lai berkongsi bahawa satu cara berkesan untuk memastikan penggunaan BLS secara meluas dalam kalangan pelajar adalah melalui penyepaduan ke dalam kurikulum sekolah, yang memerlukan penumpuan beberapa jam setiap tahun untuk pelajar mempelajari dan mengamalkan kemahiran ini.
“Guru-guru memainkan peranan penting dalam menyampaikan latihan CPR dan pertolongan cemas, tetapi tidak semua guru mempunyai kemahiran dan keyakinan yang diperlukan untuk mengajar topik itu dengan berkesan.
“SJAM boleh melatih guru atau sukarelawan dari sekolah-sekolah untuk menjadi tenaga pengajar penyelamat yang bertauliah, memastikan kursus dijalankan dengan standard tertinggi,” katanya sambil menambah, pelajar yang berjaya menamatkan kursus boleh dianugerahkan pensijilan oleh organisasi berkenaan untuk menambah kredibiliti kepada kemahiran menyelamatkan nyawa mereka.
Dr Abdul Ali menambah, PBSMM mempunyai pendekatan standard yang diserapkan dalam kokurikulum sistem pendidikan dengan sukatan pelajaran ditetapkan dalam manual Buku Nombor Tujuh.
“Terdapat sukatan pelajaran Kursus Kadet Remaja untuk ahli-ahli di sekolah rendah, Kursus Kadet untuk anggota sekolah menengah dan Kursus Detasmen Bantuan Sukarela untuk pelajar di institut pengajian tinggi.
“Pelajar-pelajar perlu mendaftar sebagai ahli dengan yuran tahunan antara RM2 dan RM8 serta semua kursus dikendalikan secara percuma oleh tenaga pengajar, belia dan guru PBSMM,” kata Dr Abdul Ali. Seperti pelaksanaan semua program, terdapat cabaran-cabaran yang perlu diatasi.
“Kurikulum sekolah selalunya sudah padat dengan pelbagai mata pelajaran dan mencari ruang untuk program latihan tambahan boleh menjadi sukar.
“Mungkin terdapat rintangan untuk menambah kursus-kursus baharu, terutamanya jika ia tidak dilihat berkaitan secara langsung dengan prestasi akademik,” kata Lai.
Selepas menamatkan latihan, Dr Anhar berkata pelajar perlu menghadiri kursus tambahan BLS setiap dua tahun untuk mengekalkan kemahiran mereka dan sentiasa dikemas kini mengenai perubahan garis panduan terkini.
“Pelaksanaan program pertolongan cemas dan CPR memerlukan sokongan berterusan dan bukannya acara sekali sahaja dan sukar untuk menjamin bahawa program itu diajar secara konsisten dari semasa ke semasa dan guru sentiasa mendapat latihan tambahan.
“Untuk merealisasikan, kami memerlukan sokongan daripada agensi kerajaan dan institusi pendidikan,” katanya, sambil menambah bahawa sekolah perlu mempunyai akses kepada guru berpengalaman dan sumber latihan yang sesuai seperti peraga, jurulatih AED dan peralatan lain yang berkaitan, yang mungkin memerlukan jumlah besar pelaburan dan penyelarasan.
Dengan peningkatan dalam bilangan pusat beli-belah yang memasang AED di dalam premis mereka, Lai berkata sekolah-sekolah harus mempertimbangkan untuk memperoleh peranti sedemikian melalui persatuan ibu bapa dan guru mereka.
“Satu AED asas sepatutnya berharga antara RM6,500 dan RM8,500, manakala pad gantian berharga antara RM250 dan RM550 dan bateri dengan jangka hayat tiga hingga lima tahun berharga antara RM250 dan RM1,900.
“Meskipun kos pendahuluan AED mungkin menjadi pertimbangan, potensi untuk menyelamatkan nyawa dan manfaat keselamatan keseluruhan yang dibawa kepada komuniti sekolah menjadikannya pelaburan yang berharga,” katanya sambil menambah bahawa SJAM telah memperkenalkan skim perkongsian dengan syarikat korporat untuk memasang AED di tempat awam.
Dr Abdul Ali menambah, nilai hayat statistik di Malaysia ialah RM2.3 juta bagi setiap nyawa yang hilang.
“Berapa nilai nyawa awda, orang tersayang atau jiran awda? Jawapan yang saya selalu dapat ialah ‘Tak Ternilai’. Jika begitu, patutkah awda tidak belajar CPR dan mendapatkan AED?” –ANN/The Star