Oleh Daniel Lim
KUALA BELAIT, 19 April – Akademi Maritim Brunei (BMA), baru-baru ini, telah menjemput perwakilan dari Biro Kawalan Narkotik (BKN) untuk menyampaikan taklimat kesedaran kepada para pelajarnya mengenai akibat menyalahgunakan dadah.
Taklimat yang diadakan di kampus berkenaan yang terletak di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Jefri Bolkiah (JBC), di sini itu telah disampaikan oleh Pegawai Narkotik BKN, Haji Hassan bin Abdul Halim.
Turut hadir pada acara itu ialah Ketua Disiplin IBTE JBC, Embak Anak Anto, pegawai kesejahteraan dan tenaga pengajar BMA.
Dengan topik ‘Kesan Bahaya Dadah’, Haji Hassan telah menjelaskan mengenai jenis-jenis dadah yang didapati di Brunei serta impak negatif penyalahgunaan dadah terhadap penagih.
Selain itu, pegawai-pegawai BKN juga mempamerkan beberapa sampel dadah yang biasa ditemui di negara ini untuk memberikan pemahaman lebih mendalam mengenai bahan berbahaya itu.
Taklimat berkenaan juga merupakan peluang bagi para pelajar membangkitkan soalan untuk memahami lagi penyalahgunaan dadah semasa sesi soal pada penghujung acara.
Pengendalian taklimat itu diharap untuk menggalakkan para pelajar mengamalkan gaya hidup sihat dan baik, bebas daripada penyalahgunaan dadah.