Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Hari Ozon Sedunia yang disambut pada 16 September setiap tahun adalah untuk memperingati komitmen dan obligasi setiap negara ahli untuk melindungi lapisan ozon bumi.
Sambutan tahun ini yang membawa tema Protokol Montreal: Mempertingkatkan Tindakan Iklim telah meraikan lebih tiga dekad komitmen dan usaha-usaha negara ahli termasuk Negara Brunei Darussalam dalam melindungi dan memulihkan lapisan ozon serta menyelamatkan bumi daripada kesan perubahan iklim.
Brunei setakat ini telah menepati sasaran yang telah diberikan oleh pihak Protokol Montreal di mana negara telah berjaya mengurangkan sebanyak 61.8 peratus daripada garis dasar yang telah ditetapkan.
Dengan kerjasama semua pihak berkepentingan, Brunei dipercayai akan dapat mencapai sasaran sete-rusnya iaitu 67.5 peratus pada 2025.
“Sasaran ini dicapai melalui Sistem Permit Import (AP) dan pembahagian kuota pengimportan HCFC yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2013 dan juga kerjasama dari agensi berkepentingan.”
Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan, Hajah Martinah binti Haji Tamit dalam ucapan alu-aluannya pada acara Pembarigaan Senegara mengenai Penggunaan Peralatan Penyejuk yang Mengandungi Gas Mudah Terbakar sempena Sambutan Hari Ozon Sedunia 2024 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.
Lebih 200 orang termasuk ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara iaitu Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, Yang Berhormat Haji Daud bin Jihan, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed dan Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjong, penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung dari Daerah Brunei dan Muara serta pegawai-pegawai dari agensi-agensi relevan telah menghadiri acara berkenaan.
Dalam ucapan alu-aluannya lagi, Hajah Martinah menyatakan usaha secara global untuk memelihara lapisan ozon telah menunjukkan kesan sangat positif, namun misi di bawah payung Protokol Montreal berkenaan belum tamat lagi.
“Pihak protokol telah mendapati gas alternatif yang digunakan untuk menggantikan bahan-bahan menghakis lapisan ozon (ODS) ini merupakan gas yang mempunyai nilai Potensi Pemanasan Global (GWP) yang tinggi dan boleh menyebabkan kesan negatif kepada iklim,” ujarnya.
Oleh itu, pindaan Kigali telah diperkenalkan dan dikuatkuasakan sejak 2019 di mana pindaan berkenaan bertujuan untuk mengurangkan penggunaan gas itu dan beralih kepada gas alternatif baharu yang bersifat rendah GWP.
Dengan adanya gas alternatif baharu itu, tambahnya, langkah-langkah keselamatan, mestilah diambil kira demi menjaga kesejahteraan kesemua pengguna kerana gas alternatif baharu itu bersifat mudah terbakar.
“Untuk itu, komitmen pelaksanaan pindaan Kigali dijangka dapat mengurangkan pelepasan 105 juta tan karbon dioksida setara manakala suhu global pula dapat dikurangkan sebanyak 0.5 darjah Celsius pada tahun 2100,” tambahnya.
Pemberigaan itu bermatlamat untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan khusus bagi penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung mengenai dengan peranan dan kepentingan Protokol Montreal serta seterusnya tatacara penggunaan alat penyaman udara yang menggunakan gas mudah terbakar dan peralatan menjimatkan tenaga.
Pada acara itu, empat pembentangan telah disampaikan iaitu Pengenalan kepada Lapisan Ozon dan Protokol Montreal, Pengenalan mengenai Tatacara Amalan Terbaik dalam Menggunakan Gas Bersifat Mudah Terbakar, Pengenalan mengenai Akta Keefisienan Tenaga (Standard dan Perlabelan) dan Pengenalan mengenai Sijil Keselamatan Kebakaran dan Perintah Keselamatan Kebakaran.