Wednesday, November 13, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dedah rahsia pembuatan Lego

    BILLUND, DENMARK – Semasa kecil, Samuel Tacchi tergila-gilakan kren Lego. Sekarang dia mereka bentuknya, dalam keadaan yang diselubungi kerahsiaan, di ibu pejabat Belanda di mana Santa telah mengisi guninya dengan barang mainan tersebut selama beberapa dekad.

    Di bangunan ultramoden di Billund, satu kunjungan ke pejabat di mana kerja-kerja reka bentuk dilakukan tidak mungkin didedahkan kerana syarikat itu amat melindungi rahsia perniagaannya.

    Namun Tacchi, warga Perancis berusia 34 tahun, kini mula menyingkap rahsia dan mengongsikan sedikit sebanyak proses kreatif yang terbabit, berdiri di depan pameran yang memaparkan beberapa kit mainan beraneka warna jenama tersebut.

    “Saya sentiasa bermula dengan lakaran di atas kertas mengenai apa yang ada dalam fikiran saya,” kata Tacchi, yang mereka bentuk Lego siri Technic.

    “Kemudian saya mula membina susun atur teknikal, termasuk sistem gear, stereng dan mula membangunkan fungsi. Seterusnya saya akan memikirkan gaya atau stail model.
    “Akhir sekali kami akan memikirkan mengenai komputer.”

    Samuel Tacchi menunjukkan beberapa reka bentuk Lego di kampus Lego di Billund, Denmark. – AFP
    Contoh blok Lego pertama dipamerkan di Muzium Lego di Billund, Denmark. – AFP
    Contoh struktur bongkah Lego yang dipamerkan di Muzium Lego. – AFP
    Patung kecil Lego dipamerkan di hotel LEGOLAND di Billund. – AFP
    Signe Wiese menunjukkan beberapa Yo-Yo pertama yang direka oleh Ole Kirk Kristiansen di Muzium Lego, Billund. – AFP
    Kotak-kotak Lego dipamerkan di sebuah kedai yang terletak di rumah LEGO di Billund. – AFP
    Blok Lego dipamerkan di sebuah kedai di Gillund. – AFP

    Pejabatnya merupakan impian kanak-kanak yang menjadi kenyataan, dipenuhi bongkah blok Lego Technic.

    “Kami mempunyai rak elemen di belakang kami. Ia senang dicapai untuk memasang beberapa elemen, membinanya bersama dan melihat sama ada idea kami dapat berfungsi,” ujarnya.

    Dalam tempoh tujuh tahun bersama syarikat itu, Tacchi telah membantu mereka bentuk kira-kira 25 kit.

    Sebuah syarikat milik keluarga, Lego menggaji lebih daripada 20,000 pekerja di seluruh dunia – lebih satu perempat daripadanya di Billund, yang juga tempat terletaknya kilang paling lama syarikat itu.

    Di sini, dalam dewan besar di mana robot bergerak seolah-olah mengikut tarian koreografi, ratusan ribu blok Lego dihasilkan setiap hari.

    Plastik berwarna-warni dibentuk dengan acuan menjadi bentuk yang biasa dilihat: bongkah, patung, rambut, sayap naga dan tayar. Lego dilaporkan pengeluar tayar terbesar di dunia!

    Diasingkan dan disimpan berdasarkan model dalam kotak besar di gudang bersebelahan syarikat, blok Lego seterusnya dihantar ke kilang lain untuk dimasukkan dalam kit.

    Sementara segala-galanya dibuat daripada plastik hari ini, empayar barang mainan itu ditubuhkan oleh tukang kayu yang amat prihatin mengenai kualiti kayu yang digunakannya.

    Pada 1932, di tengah-tengah Zaman Meleset, Ole Kirk Kristiansen mula menghasilkan barang mainan kayu, memenangi hati kanak-kanak Belanda dengan yo-yo buatannya.

    “Dia menjual yo-yo kepada setiap kanak-kanak di Billund dan apabila setiap budak sudah memilikinya, dia tidak dapat menjualnya lagi. Namun barang mainan tersebut masih dapat dilihat dalam bengkelnya,” jelas Signe Wiese, ahli sejarah tempatan Lego.

    “Maka daripada membuang atau hanya meninggalkan barang mainan tersebut, dia menggunakannya semula. Dia memecah yo-yo kepada separuh dan seterusnya menggunakannya sebagai roda pada wagon.”

    Empat tahun kemudian, setelah bersara daripada bidang pertukangan kayu, dia menamakan syarikat baharunya ‘Lego’, singkatan daripada perkataan Belanda ‘Leg godt’, yang bermakna ‘Bermain dengan baik.’

    Dengan kekurangan bahan mentah selepas Perang Dunia Kedua, Kirk Kristiansen beransur-ansur beralih kepada bahan plastik dan melaburkan wang simpanannya dalam mesin pengacuan suntikan.

    “Dia benar-benar berminat dalam teknologi itu dan mesin serta bahan itu sendiri,” kata Wiese.

    “Oleh itu, bagi dirinya, ia merupakan satu keputusan yang agak mudah, meskipun pada hakikatnya semua orang telah menasihatkannya supaya jangan meneruskan dengan projek tersebut.”

    Namun idea untuk menghasilkan blok Lego timbul kemudian.

    Pada mulanya, bongkah Lego dibuat tanpa ‘kuasa cengkaman’ terkenal Lego, mekanisme yang membolehkan blok dicantum bersama.

    Reka bentuk itu dipatenkan pada 1958, sekali gus membuka laluan kepada pelbagai katalog figura, bentuk dan kit.

    Kini, Lego adalah pengeluar barang mainan terbesar di dunia, di depan Bandai Namca dari Jepun dan kumpulan Hashbro dan Mattel, Amerika Syarikat, menurut penganalisis pasaran, Statista.

    Pada tahun ini saja, Lego berkata katalog barang mainannya adalah lebih banyak berbanding sebelumnya, tetapi enggan mendedahkan jumlahnya yang sebenar. Satu lagi rahsia perniagaan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda