Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Feb – Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pertubuhan Fotografi Negara Brunei Darussalam (PFNBD) kali ke-36 tahun 2017 telah diadakan hari ini bertempat di Pusat Belia, di ibu negara.
Majlis yang merupakan aktiviti dwi tahunan selepas tamat penggal bagi Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif yang dilantik bagi menerajui PFNBD tahun 2016-2017 itu diisi dengan pengumuman keputusan ‘Best Photographer of The Year’ PFNBD 2017, pe-nganugerahan ‘Fellowship Brunei Photographic Society FBPS’ dan juga penghargaan kepada ahli-ahli jawatankuasa eksekutif bagi 2016-2017.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Awang Wardi bin Haji Mohd Ali.
Awang Wardi semasa menyampaikan ucapannya pada majlis tersebut antara lain menyentuh mengenai fotografi di mana dalam konteks Brunei Darussalam, peranan fotografi semakin relevan dan penting khususnya dalam sama-sama mendukung usaha KSSUP untuk mempromosikan dan memperkenalkan tempat-tempat dan acara-acara menarik yang mempunyai tarikan pelancong untuk diperkenalkan ke negara luar dan menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan yang utama dan unggul.
“Dengan ledakan dan perkembangan teknologi yang sangat pantas, seni fotografi kini berdepan dengan kemajuan baru yang semakin canggih dan mudah iaitu melalui penggunaan fotografi digital,” jelas Awang Wardi lagi.

Selain itu, beliau yakin dengan usia PFNBD yang mencapai usia kegemilangan emas ke-50nya pada tahun ini setentunya telah mengenal pasti semua cabaran yang dihadapi.
“Apa yang penting, melalui permesyuaratan pertubuhan kali ke-36 ini, persatuan ini akan dapat terus kekal dan sentiasa relevan dengan perkembangan semasa. Ini termasuklah meningkatkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan mana-mana pihak yang bersesuaian serta mengembangkan lagi peranan persatuan ini dan meraih peluang-peluang dengan menggunakan platform yang ada,” tekannya.
Terdahulu, Yang Di-Pertua PFNBD, Haji Hamidun bin Haji Mohd Noor dalam ucapannya telah menjelaskan mengenai kegiatan dan aktiviti pertubuhan sepanjang tahun 2016 hingga 2017. Antaranya, mereka telah mengendalikan sebanyak sembilan penggambaran luar bagi tahun 2016 dan tujuh penggambaran luar bagi tahun 2017, di mana pertubuhan berkenaan telah berjaya menghasilkan koleksi tempat-tempat yang menarik di Brunei Darussalam.
“Selain itu, ahli-ahli juga membuat penggambaran pada hari kebesaran dan bersejarah negara seperti Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W, suasana Hari Kebangsaan dan sejarah gilang-gemilang Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta,” tambahnya.
Antara aktiviti lain yang telah diadakan oleh persatuan tersebut ialah mengadakan Hari Keluarga PFNBD, memberikan khidmat bakti kepada masyarakat dengan mengadakan Majlis Ibadah Korban, Bengkel Asas Fotografi, Bengkel Asas Photo Editing, pameran serta pelbagai lagi.