KOTA BHARU – Bagai lagu dan irama, begitulah juga dikir barat dengan rakyat Kelantan, namun persembahan oleh sekumpulan anak muda pada akhir bulan lepas di Kem Putra, Kampung Chengal, Ketereh di sini, dianggap istimewa dan memberangsangkan.
Persembahan pada 31 Oktober itu adalah daripada kumpulan Sanggar Budaya Geng Wak Long dan ternyata menghilangkan kerinduan peminat tegar setelah hampir dua tahun sepi akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Lagu-lagu yang dipersembahkan oleh Tok Jogho diiringi irama muzik tradisi, begitu menghiburkan walaupun dalam suasana pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan untuk siaran program Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Mohamad Zuraidi Sufian (Tok Jogho), 28, bersama 12 lagi orang rakan dalam kumpulan dikir barat itu ternyata begitu gembira dapat membuat persembahan sebagaimana yang pernah mereka lakukan pada pelbagai acara dan majlis sebelum wabak COVID-19.
“Sejak negara dilanda wabak COVID-19 dan PKP dikuatkuasakan Mac tahun lepas (2020), persembahan ini adalah yang pertama. Saya sangat gembira kerana sudah lama tidak dapat membuat persembahan,” kata Mohamad Zuraidi yang juga dikenali dengan nama glamour “Die Kencana”.
Sementara itu, Tukang Karut, Fadil Turbo atau nama sebenarnya Mohd Fadil Mohd Noor, 39, berkata, sudah sampai masanya kumpulan dikir barat di negeri ini kembali aktif serta mengangkat seni budaya rakyat sebagai platform penyampaian mesej kepada masyarakat.
“Dalam tempoh pandemik COVID-19 itu, selain berlatih, kami membuat rakaman video persembahan dan disiarkan di platform media sosial seperti YouTube dan Facebook. Ia mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.
Menurut Mohd Fadil, kumpulannya akan terus menggunakan platform media sosial untuk mengangkat dikir barat ke persada dunia.
Teknologi digital
Bernama berpeluang menemu bual Mohamad Zuraidi dan Mohd Fadil ketika kedua-duanya hadir di program Selamat Pagi Malaysia di Ketereh, Kelantan anjuran RTM yang membicarakan topik ‘Ikhtiar Keluarga Malaysia – Bersama Pemimpin Menyantuni Rakyat’.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang juga Ahli Parlimen Ketereh adalah tetamu untuk program ini dan kumpulan dikir barat mereka turut membuat persembahan yang disiarkan ke seluruh negara.
Mohd Fadil berkata, ketika tempoh Pandemik COVID-19, mereka menggunakan teknologi digital untuk terus mengangkat populariti persembahan dikir barat.
Sehubungan itu, mereka menyambut baik usaha kerajaan terutama melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk memulihkan serta melonjakkan kembali persembahan seni budaya rakyat yang terkesan akibat COVID-19.
Sementara itu, rata-rata peniaga kecil yang ditemui pada program Jelajah #Saya Digital Keluarga Malaysia Parlimen Ketereh, Negeri Kelantan, yakin, konsep e-Dagang mampu merancakkan kembali perniagaan mereka yang terkesan akibat COVID-19.
Program anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu akan dilaksanakan di seluruh negara dan dibawa turun hingga ke akar umbi bagi memastikan hasrat merakyatkan e-Dagang dalam kalangan usahawan tercapai.
Usaha ini juga untuk memastikan tiada jurang digital dalam kalangan peniaga kecil, sederhana malah usahawan mikro.
Penganjuran program berkenaan adalah juga bukti komitmen kerajaan melalui KKMM untuk menyebar luas kepentingan teknologi digital kepada semua termasuk rakyat di luar bandar.
Annuar ketika merasmikan program jelajah itu di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) Peringat di sini berkata, lebih 200,000 orang usahawan di seluruh negara terlibat dalam program yang dianjurkan MDEC pada tahun 2020.
Menurut beliau, pihaknya kini menyasarkan jumlah penyertaan lebih besar lagi untuk merakyatkan semua peniaga, tidak kira yang berniaga di tepi jalan sekalipun, agar mereka menggunakan konsep e-Dagang itu.
Pemasaran kaedah e-dagang
Norlina Mat Noor, 40, yang menjual aiskrim potong di pasar malam memberitahu Bernama, beliau terpaksa menghentikan perniagaannya dan beralih kepada pemasaran dalam talian, apabila pasar malam ditutup akibat penularan wabak COVID-19.
“Alhamdulillah saya kini boleh jual sehingga 1,000 kotak aiskrim potong sebulan. Kini saya dan suami Ardie Musmadi Che Mamat, 41, memberi tumpuan kepada pemasaran kaedah e-Dagang,” katanya.
Pengusaha kek dan pastri, Ruhasni Ismail, 51, berkongsi bahawa sebanyak 90 peratus pemasaran produknya adalah secara dalam talian dan sambutan amat menggalakkan.
“Saya tidak pernah ada kedai. Semua (produk) buat di rumah dan pemasaran secara dalam talian,” katanya yang mendapat bimbingan daripada MDEC sejak tahun 2015.
Beliau berkata MDEC menyediakan tenaga pengajar bagi melatih peniaga menjalankan perniagaan secara dalam talian atau e-Dagang.
Peniaga kantin sebuah sekolah kebangsaan di sini, Nik Samsiah Nik Soh, 49, berkata pihak MDEC juga membawa perkongsian kisah-kisah kejayaan tokoh perniagaan bagi memberikan motivasi kepada orang ramai untuk terlibat dalam e-Dagang.
“Dengan adanya tenaga pengajar dan capaian Internet yang baik, agak mudah untuk saya mempelajari perniagaan secara e-Dagang ini, dan penganjuran program seperti ini membuka pintu yang lebih luas kepada kami (peniaga kecil) untuk belajar, memahami dan seterusnya menguasai teknologi digital,” katanya.
Program jelajah itu memberi tumpuan kepada empat komponen utama iaitu Digital memudahkan kehidupan, Digital menambah pendapatan, Digital meluaskan perniagaan dan Digital memperkasa kerjaya masa hadapan.
Tiga aspek ekosistem perkhidmatan jalur lebar
Sementara itu, KKMM mengenal pasti tiga aspek ekosistem perkhidmatan jalur lebar yang perlu diberikan perhatian, bagi memastikan kualiti capaian Internet di semua kawasan termasuk luar bandar.
Aspek pertama membabitkan prasarana mencukupi, bagi menjamin tahap penyampaian perkhidmatan jalur lebar kepada masyarakat dengan capaian Internet 4G, pada kelajuan sekurang-kurangnya 35 megabit per saat (Mbps).
“Itu tanda aras yang kita akan sukat, sama ada tempat tersebut mempunyai capaian pada tahap berkenaan, bukan sahaja liputan (Internet), bahkan liputan berkenaan bertaraf 4G.
“Manakala, aspek kedua kena ada peranti yang sesuai dan mampu dimiliki rakyat termasuk golongan miskin. Oleh sebab itu, saya telah perkenalkan pakej peranti Keluarga Malaysia iaitu dengan hanya bayar RM40 langganan mampu memperoleh terus peranti 4G secara percuma,” kata Annuar.
Menurut beliau, aspek ketiga membabitkan aplikasi, bagi memberikan galakan serta kemahiran kepada masyarakat untuk menjana pendapatan.
“Kita telah perkenalkan #SayaDigital, iaitu gerakan melatih bagi menggalakkan dan memberikan kemahiran kepada rakyat termasuk di luar bandar menggunakan kemudahan yang disediakan.
“Malah, ia dapat menjamin pendapatan dengan penyertaan dalam e-Dagang dan sebagainya. Jadi, saya ambil ini sebagai satu pendekatan yang menyeluruh,” katanya.
Tingkat penerapan digital
Bagi menggiatkan lagi transformasi pendigitalan perniagaan dalam kalangan usahawan luar bandar, kerajaan merancang untuk menyediakan sebanyak 1,000 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di seluruh negara menjelang akhir tahun depan (2022).
Penambahbaikan juga akan dilaksanakan kepada kira-kira 600 hingga 800 PEDi sedia ada di seluruh negara.
Untuk rekod, PEDi dijenamakan semula daripada Pusat Internet Komuniti sedia ada dan berperanan sebagai pusat sehenti untuk membimbing usahawan mikro menggunakan teknologi digital.
Bagi meningkatkan penerapan digital dalam kalangan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS), kerajaan akan menambah baik inisiatif Skim Geran Pendigitalan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Untuk tahun 2022, jumlah dana bagi skim ini dinaikkan kepada RM200 juta dengan RM50 juta dikhususkan untuk usahawan mikro bumiputera di luar bandar.
Kerajaan juga akan memperkenalkan program Malaysia Digital Nomad untuk mewujudkan komuniti dan ekosistem nomad digital di negara ini.
Nomad digital ialah golongan yang menjana pendapatan secara dalam talian tanpa lokasi fizikal yang tetap.– Bernama