Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Dis – Sejak penubuhan Daimun Security Services (DSS) pada 2012, syarikat berkenaan kini mempunyai kira-kira 1,000 orang pengawal keselamatan di mana setelah lebih enam tahun itu, DSS memberikan perkhidmatan kepada pelanggan daripada pelbagai sektor termasuk kementerian, industri minyak dan gas serta pihak persendirian.
Perkara itu dikongsi oleh Pengarah Urusan DSS, Mejar (B) Wan Mohd Tambrin Sah bin Haji Suhaili pada Majlis Kesyukuran yang dihadiri oleh lebih 200 orang kakitangan DSS di Berakas, kelmarin.
Beliau juga berkata bahawa DSS bukan sahaja memberi perkhidmatan keselamatan tetapi juga komited dalam membendung isu pengangguran di mana pada masa ini, 100 peratus tenaga kerjanya ialah warga tempatan.
Mejar (B) Wan Mohd Tambrin Sah percaya bahawa pencapaian dan kejayaan yang dicapai oleh DSS ialah hasil daripada dedikasi, komitmen serta ketaatan setiap anggota, klien dan sokongan daripada keluarga masing-masing.
Majlis itu diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada pengawal keselamatan yang cemerlang yang ditugaskan di Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), Hengyi Industries Sdn Bhd dan Golden Corporation.
Pada majlis berkenaan, anugerah turut disampaikan kepada kakitangan yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam tugas mereka serta upacara kenaikan pangkat kepada dua orang pegawai kanan DSS.
