Friday, September 20, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dedikasi warga emas bermain gateball tanpa henti

    TOKYO – Di bawah teriknya matahari di Tokyo, Katsuko Morita yang berusia 80an mengayunkan kayu pemukul dan memukul bola melalui sebuah gate kecil.

    Dia merupakan penggemar tegar gateball, yang bermain hampir setiap hari, meskipun ketika itu cuaca sangat panas.

    “Beberapa rakan sebaya dengan usia saya mengatakan bahawa saya gila keluar bermain gateball dalam cuaca panas ini,” kata Morita, 81, kepada AFP semasa sesi latihan permainan diinspirasikan daripada kroket tersebut.

    “Ketika saya bermain permainan ini, panas tidak mengganggu saya,” katanya sambil wajahnya dilindungi oleh topi lebar.

    Suhu hampir mencatatkan rekod di seluruh Jepun musim panas ini, telah memicu amaran keletihan teruk dan peringatan kepada orang ramai, terutamanya warga emas, untuk menggunakan penghawa dingin dan kekal sejuk.

    Warga emas menikmati aiskrim selepas bermain permainan gateball di sebuah taman di pinggir bandar Tokyo, ketika suhu mencecah 36 darjah Celsius di ibu kota Jepun. – Gambar AFP
    Warga emas bermain permainan gateball yang diilhamkan oleh kroket di sebuah taman di pinggir bandar Tokyo. – Gambar AFP
    Seorang warga emas berlatih permainan ‘gateball’ di sebuah taman di pinggir bandar Tokyo. – Gambar AFP

    Jepun mempunyai penduduk kedua tertua di dunia selepas negara kecil Monaco dan data rasmi menunjukkan warga emas menyumbang lebih 80 peratus kematian disebabkan kemarau dalam lima tahun lepas.

    Warga emas adalah antara yang paling terdedah semasa gelombang panas kerana mereka kurang mampu mengawal suhu badan mereka.

    Walaupun gateball memerlukan sedikit usaha fizikal, pemain perlu meluangkan masa di bawah matahari yang terik ketika dua pasukan bertentangan dengan teliti memukul bola melalui beberapa struktur seperti pagar kecil.

    Morita dan rakan-rakan gateball lain mengambil langkah berjaga-jaga, seperti berdiri di bawah tempat teduh jika boleh, memakai pakaian pelindung, mengekalkan hidrasi tubuh dan menggunakan pek ais untuk menyejukkan badan.

    Tahun ini, latihan telah dipindahkan ke waktu pagi untuk mengelakkan suhu tengah hari yang berbahaya panas. Permainan dihentikan jika suhu mencapai 35 darjah Celsius.

    Gateball mendapat tempat dalam masyarakat Jepun selepas Perang Dunia II. Ia dilihat sebagai hiburan murah untuk kanak-kanak apabila kebanyakan keluarga bergelut untuk mencari makanan dan keperluan lain.

    Ia kekal popular, terutamanya dalam kalangan warga emas. Kira-kira 90 peratus pemain gateball di Tokyo berusia 70 tahun atau lebih, kata Toshiaki Koizumi dari Persatuan Gateball Tokyo.

    Beberapa kali seminggu, Morita dan pemain lain berkumpul di padang gateball luar di daerah Suginami, Tokyo untuk berlatih bagi kejohanan rasmi.

    Ia adalah peluang untuk bersosial, tetapi mereka berlatih serius kerana tiada siapa yang suka kalah.

    Dengan memakai topi lebar dan baju lengan panjang untuk mengelakkan selaran matahari akibat teriknya sinaran matahari, para pemain berjalan di sekitar padang kerikil dengan tenaga yang mengejutkan, bergilir-gilir memukul bola melalui gate.

    Kadang-kadang, seseorang bahkan menjerit “pukul lebih kuat!” atau “fikir dengan lebih mendalam!” apabila pemain gagal melakukan pukulan.

    Beberapa pemain mele-takkan bekuan ais di bawah topi atau di sekitar leher mereka sementara sekurang-kurangnya seorang pemain sanggup membelanjakan wang semata-mata hanya untuk mendapatkan rompi dengan dua kipas dijahit di bahagian tepi.

    “Cuaca panas tahun ini sangat gila. Saya belum pernah mengalami sesuatu seperti ini,” kata Makoto Kabe, 78, ketika termometer AFP menunjukkan suhu tanah kira-kira 44 darjah Celsius.

    Kabe berkata, dia dahulu mengkritik gateball sebagai permainan orang tua, tetapi mengakui dia kini ‘tertarik’ dengan permainan strategik itu.

    “Jika saya terus berada di dalam bilik berhawa dingin menonton TV sepanjang hari, saya akan menjadi rabun,” kata Kabe sambil ketawa.

    “Permainan ini membantu mengekalkan otak awda aktif,” tambahnya.

    Selepas latihan, para pemain menenangkan diri dengan memakan aiskrim di bawah naungan pokok-pokok berdekatan, ketegangan persaingan mereka perlahan-lahan reda sambil bersembang santai dan ketawa.

    “Saya datang ke sini untuk terdedah kepada dunia luar. Ini juga tempat di mana saya dapat berjumpa dengan ramai rakan saya,” kata Michiko Aoki, yang berbangga kerana kelihatan lebih muda berbanding usianya yang mencecah 81 tahun.

    “Apabila saya kalah dalam permainan, terkadang saya tidak boleh tidur,” katanya.

    “Makan, tidur dan gateball merupakan tiga bahagian terbesar dalam hidup saya sekarang,” ujarnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda