Bintang terkenal Bollywood, Deepika Padukone dan Ranveer Singh sama-sama membuat pengumuman yang mereka bakal menimang cahaya mata menerusi satu hantaran di Instagram.
Dalam hantaran yang dibuat secara kolaborasi, pasangan sama cantik sama padan ini memuat naik sebuah poster yang tertulis bulan September 2024 dan dihiasi dengan corak lukisan perhiasan anak damit dalam rona merah jambu dan biru.
Menurut laporan Hindustan Times, Deepika kini sedang berada dalam trimester kedua kandungan.
Spekulasi kandungan pasangan itu mula tersebar apabila Deepika dilihat cuba menyembunyikan bentuk perutnya ketika berjalan di karpet merah menghadiri Anugerah BAFTA ke-77di London.
Deepika dan Ranveer yang masing-masing berusia 38 dan 39 tahun telah berkahwin pada 2018 setelah lebih enam tahun menjalinkan hubungan cinta. Percintaan mereka dikatakan bermula apabila sama-sama berlakon dalam filem Ram-Leela pada 2012.
Dalam satu temu bual bersama majalah Vogue Singapura, Deepika yang merupakan penghias wajah hadapan majalah tersebut berkongsi mengenai kehidupan sebagai ibu bapa dalam kamus hidupnya.
“Ranveer dan saya suka kanak-kanak. Kami menantikan hari apabila kami akan memulakan keluarga kami sendiri,” kongsinya memetik laporan Media Hiburan.
Selain itu dia juga berbicara tentang cara dia dibesarkan yang mana keluarganya menekankan kepentingan untuk kekal berpijak pada bumi yang nyata walaupun dilimpahi kemasyhuran dan wang.
“Dalam industri ini adalah mudah untuk terpengaruh dengan kemasyhuran dan wang. Walaupun begitu tiada siapa yang melayan saya seperti selebriti di rumah. Saya seorang anak perempuan dan seorang adik perempuan.
“Saya tidak mahu perkara itu berubah. Keluarga saya membuatkan saya berasa rendah hati. Saya dan Ranveer berharap dapat menerapkan nilai yang sama dalam diri anak-anak kami,” ujarnya mengenai didikan yang diinginkan kepada anak-anaknya kelak. – Agensi