Saturday, February 1, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    DeepSeek cetus kontroversi, Korea Selatan siasat pengurusan data

    SEOUL, 31 JAN – Korea Selatan akan meminta syarikat pemula China, DeepSeek, menjelaskan cara ia mengurus maklumat peribadi pengguna susulan pelancaran chatbot kecerdasan buatan (AI) baharunya minggu ini, menurut Suruhanjaya Perlindungan Maklumat Peribadi Korea Selatan hari ini.

    DeepSeek mendakwa chatbot R1 miliknya mampu menandingi keupayaan peneraju AI di Amerika Syarikat (AS) dengan kos yang jauh lebih rendah berbanding pelaburan besar yang dilakukan oleh syarikat teknologi di negara itu.

    Berita tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemain utama industri teknologi, dengan saham Nvidia merosot 17 peratus pada Isnin, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai ratusan bilion dolar yang telah dilaburkan dalam sektor AI sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

    “Kami berhasrat untuk mengemukakan permintaan bertulis seawal Jumaat bagi mendapatkan maklumat mengenai cara DeepSeek mengendalikan data peribadi pengguna,” kata seorang pegawai suruhanjaya itu kepada AFP, tanpa memberikan butiran lanjut.

    Beberapa negara lain turut menyuarakan kebimbangan terhadap chatbot AI DeepSeek.

    Itali minggu ini melancarkan siasatan terhadap model R1 dan menyekatnya daripada memproses data pengguna di negara itu.

    Pihak Berkuasa Perlindungan Data Itali sedang menyiasat jenis maklumat yang digunakan untuk melatih sistem AI DeepSeek dan jika data tersebut diperoleh daripada internet, bagaimana pengguna dimaklumkan tentang pemprosesan data mereka.

    Pengawal selia data Perancis, CNIL, turut menyatakan pihaknya akan menyoal DeepSeek mengenai chatbot itu ‘bagi memahami dengan lebih jelas cara ia berfungsi serta risiko yang berkaitan dengan perlindungan data.’

    Syarikat pemula China itu memaklumkan bahawa ia menggunakan cip H800 yang kurang canggih, yang dibenarkan untuk dijual ke China sehingga 2023 di bawah kawalan eksport AS bagi menjana model pembelajaran berskala besar.

    Syarikat gergasi cip Korea Selatan, Samsung Electronics dan SK hynix, merupakan pembekal utama cip canggih yang digunakan dalam pelayan AI.

    Kebimbangan terhadap kesan DeepSeek telah menjejaskan pasaran saham di Seoul apabila ia dibuka semula selepas cuti panjang pada Jumaat. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda