Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    DeepSeek tetapkan penanda aras untuk syarikat China

    BEIJING, 6 FEB – Bilangan syarikat-syarikat China untuk mengikuti DeepSeek dalam memajukan inovasi dan kerjasama serta membuat penemuan global semakin bertambah walaupun terdapat sekatan daripada Amerika Syarikat (AS), kata pakar industri baru-baru ini.

    Mereka membuat komen itu selepas Majlis Keselamatan Negara AS mendakwa terdapat implikasi terhadap keselamatan negara setelah kemunculan DeepSeek, sebuah syarikat pemula dari China yang menggegarkan dunia teknologi kecerdasan buatan (AI) baru-baru ini dengan model bahasa besar AI atau large language model yang sangat kos efektif.

    DeepSeek telah pun membina rantaian bekalan tempatan yang mengandungi 278 syarikat, yang telah mengalami peningkatan kadar pengeluaran domestik harta intelek utama daripada 19 peratus pada 2022 kepada 64 peratus.

    Papan tanda pejabat DeepSeek (tengah) dilihat di Beijing pada 28 Januari 2025. – AFP

    Pan Helin, ahli Jawatankuasa Pakar Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat untuk Ekonomi Maklumat dan Komunikasi, berkata: “Di tengah-tengah persaingan AI antara AS dan China, DeepSeek telah membuka laluan teknikal baharu untuk model bahasa besar yang tidak bergantung pada cip yang mewah serta dapat menjimatkan kuasa pengkomputeran.

     “Ini bermakna perangkap kuasa pengkomputeran yang dicipta oleh AS untuk menghalang syarikat China berjaya dielak oleh DeepSeek. Lebih penting lagi, ia sekali lagi membuktikan bahawa keupayaan untuk berinovasi, tanpa halangan geopolitik, akan menjadi kunci bagi sesebuah negara dari segi memenangi persaingan AI global,” katanya.

    Model DeepSeek dibina walaupun AS mengekang eksport cip ke China. Syarikat penganalisis di perundingan pasaran, Jefferies menganggarkan bahawa versi terbaru model DeepSeek mempunyai kos latihan hanya AS$5.6 juta, kurang daripada 10 peratus daripada kos Llama daripada Meta.

    Pan turut menambah bahawa DeepSeek bukan satu-satunya syarikat China yang membuat penemuan baharu sedemikian.

    Sejak DeepSeek melancarkan model AI baharunya R1 pada bulan Januari, syarikat-syarikat teknologi AS telah berlumba-lumba untuk mencubanya walaupun pihak berkuasa AS cuba menyekat DeepSeek.

    Pelabur OpenAI, Microsoft turut melancarkan sokongan untuk DeepSeek’s R1 minggu lepas pada platform pengkomputeran awan mereka, Azure.

    Ikon untuk aplikasi telefon pintar DeepSeek dan ChatGPT dilihat pada skrin telefon pintar di Beijing pada 28 Januari. – API

    Sementara itu, pereka cip terkemuka Nvidia telah menjadikan model R1 DeepSeek tersedia kepada pengguna perkhidmatan mikro NIMnya sejak Khamis, mengatakan bahawa model itu menyediakan keupayaan penaakulan terkini, kecekapan inferens yang tinggi, serta ketepatan utama untuk beberapa tugas.

    Wang Peng, seorang penyelidik di Akademi Sains Sosial Beijing, berkata: “Walaupun AS melihat AI sebagai alat untuk mengekalkan hegemoninya. DeepSeek mengambil misi untuk memberi manfaat kepada manusia, dengan teknologi sumber terbuka dan aplikasi percuma global.

    “Visi pembangunan AI di China nampaknya semakin tidak dapat dihalang, didorong bukan sahaja oleh sumber kewangan tetapi oleh budaya kerjasama dan inovasi yang semakin berkembang,” tegasnya.

    Baru-baru ini, perniagaan awan milik Huawei dan syarikat AI China, SiliconFlow mengumumkan bahawa mereka telah bersama-sama melancarkan dan disiarkan secara langsung dengan perkhidmatan inferens R1/V3 DeepSeek berdasarkan perkhidmatan awan Ascend oleh Huawei.

    “Ini akan membolehkan model itu berjalan secara stabil dalam persekitaran berskala besar dan memenuhi keperluan untuk penggunaan perniagaan komersial,” kata kedua-dua syarikat itu.

    Dr Liu Zhiyuan, seorang profesor madya sains komputer dan teknologi di Universiti Tsinghua, berkata DeepSeek menunjukkan bahawa jurang antara AS dan China telah mengecil dengan ketara daripada segi pembangunan AI.

    DeepSeek masih menghadapi cabaran yang semakin meningkat dalam mengembangkan model dan keupayaan perkhidmatannya, dan teknologi AI masih berkembang pesat, kata Dr Liu. – ANN/China Daily

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda