WASHINGTON, 10 April – Defisit Amerika Syarikat (AS) akan meningkat lebih 20 peratus pada tahun ini dan mencecah AS$1 trilion pada 2020, sebahagiannya disebabkan pemotongan cukai pada Disember, kata Pejabat Belanjawan Kongres (CBO) semalam.
Akibat daripada pemotongan cukai dan pertambahan perbelanjaan juga merangsang pertumbuhan jangka pendek di Amerika Syarikat tetapi tidak sebanyak yang dijangkakan oleh Rumah Putih, menurut CBO.
Pada Disember, Presiden Donald Trump dan penggubal undang-undang Republikan mengurangkan kadar cukai korporat dan pendapatan peribadi untuk merangsang pertumbuhan, satu taktik yang dikecam oleh pembangkang Demokrat sebagai hadiah kepada orang kaya.
Defisit belanjawan akan bertambah kepada AS$804 bilion pada 2018, atau 4.2 peratus daripada KDNK, meningkat daripada AS$665 bilion pada 2017. Sebelum pakej perangsang, CBO telah meramalkan defisit akan mengecut kepada AS$563 bilion.
Menjelang tahun 2020, defisit belanjawan AS akan meningkat kepada AS$1 trilion dan akan melebihi lima peratus daripada KDNK pada tahun 2022.

Pada masa yang sama, pertumbuhan KDNK akan naik kepada 3.3 peratus pada tahun ini sebelum berkurangan kepada 2.4 peratus pada tahun berikutnya, sejajar dengan perkembangan terbaharu.
Simpanan Persekutuan meramalkan pertumbuhan sebanyak 2.7 peratus pada 2018 dan 2.4 peratus pada 2019.
Pentadbiran Trump sedang mengharapkan pertumbuhan yang lebih tinggi untuk merangsang pendapatan cukai dan dengan itu membayar untuk pemotongan cukai, namun ahli ekonomi berkata ia adalah tidak realistik.
Tatkala kos perkhidmatan hutang meningkat disebabkan kadar faedah yang meningkat, menurut CBO, Amerika Syarikat diwajibkan meneruskan pinjaman untuk mengganti pendapatan cukai yang lebih rendah. Hutang AS akan mencecah 100 peratus KDNK pada dekad akan datang hasil daripada itu.
Hutang yang ditanggung oleh Perbendaharaan AS sahaja, yang diramalkan mencecah AS$16 trilion pada akhir tahun 2018, akan bertambah kepada AS$29 trilion pada tahun 2028 atau 96 peratus daripada KDNK.
“Peratusan itu akan menjadi yang terbesar sejak 1946 dan lebih dua kali lebih banyak daripada purata dalam tempoh lima dekad lalu,” kata CBO ketika membentangkan hasil dapatan tersebut.
“Hutang yang tinggi itu akan memberi kesan negatif kepada belanjawan dan negara.” – AFP/AP