JAKARTA, 2 JAN – Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati, hari ini berkata bahawa defisit belanjawan negara untuk tahun 2024 adalah lebih rendah daripada ramalan terbaharu kerajaan iaitu 2.7 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
“Defisitnya jauh lebih rendah daripada ramalan 2.7 peratus daripada KDNK,” kata Mulyani di bangunan Bursa Saham Indonesia.
Menurutnya, defisit belanjawan negara mencapai 1.81 peratus daripada KDNK pada November tahun lalu.
Beliau menegaskan bahawa defisit rendah ini merupakan pencapaian luar biasa, dengan menyatakan bahawa belanjawan negara tahun lalu diselesaikan dengan selamat.
“Belanjawan negara untuk 2024 ditutup dalam keadaan yang lebih sihat dan lebih terjamin.
Ini memberikan asas yang kukuh ketika kita melangkah ke tahun 2025,” tambahnya.
Berhubung hasil negeri tahun lalu, menteri tersebut mengakui bahawa walaupun ia melebihi jumlah tahun sebelumnya, namun masih belum mencapai sasaran.
Sementara itu, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menyampaikan penghargaan atas usaha mengekalkan kestabilan fiskal di tengah-tengah cabaran global.
“Kita masih dapat mengurus kewangan negara dengan bijaksana, berhati-hati, dan berhemah,” katanya hari ini. – Xinhua