Saturday, September 23, 2023
30 C
Brunei

    -

    Degilnya si pemancing

    Oleh Raz AS –

    Tidak dapat dinafikan sifat degil memang ada pada setiap diri manusia. Cuma bezanya ada yang degilnya lebih kuat berbanding orang lain. Dalam dunia memancing sifat degil kadang-kadang ada baiknya namun ada juga buruknya.

    Bak kata pepatah orang kitani, ‘bekarih bejarih belurih’. Pepatah ini membawa maksud kita harus sanggup berusaha sedaya upaya untuk mendapat hasil yang diingini. Boleh dikatakan pepatah ini memang sudah sebati dengan orang yang bergelar pemancing tegar.

    Tapi jangan disamakan ‘bekarih’ itu dengan sifat degil yang membabi buta.

    Apa yang penulis maksudkan di sini, jika dalam konteks memancing, ramai pemancing yang ‘bekarih’ menunggu berjam-jam lamanya menanti sang ikan memakan umpan. Ramai yang mengatakan, itu adalah kesabaran seorang pemancing.

    Sabar seorang pemancing ini memang hebat. Bukan saja sabar menunggu lama, bahkan gigitan nyamuk, hujan panas, penat lelah, lapar dahaga tidak diendahkan. Suruhlah orang lain yang tidak minat memancing duduk bersama-sama, pasti tidak sampai setengah jam sudah mengusut ingin pulang.

    Menduga lubuk serta mencuba umpan dan teknik baru selain daripada yang menjadi kebiasaan kita, boleh mengubah trip memancing yang suram menjadi berjaya. – Gambar oleh Townsville Bulletin

    Bagaimana jika menunggu berjam-jam itu di tempat yang sama atau menggunakan kaedah pancingan yang sama atau menggunakan umpan yang sama, sedangkan hasil yang diperoleh tidak seberapa atau mungkin langsung tidak ada. Kalau begini halnya, ia bukan lagi atas dasar kesabaran tapi sebenarnya adalah didorong oleh sifat degil kita sendiri yang enggan beradaptasi dengan keadaan dan tidak fleksibel.

    Apabila kita pernah beroleh tangkapan terutama yang bersaiz besar atau jumlah yang banyak di satu tempat yang tertentu, contohnya di kawasan reba, takat atau jambatan tempat kita selalu memancing, atau semasa trip memancing kita yang lepas berjaya membuahkan hasil memberangsangkan dengan menggunakan umpan tertentu atau lure tertentu atau menggunakan teknik pancingan tertentu.

    Ramai antara kita tanpa berlengah-lengah atau berfikir panjang pasti akan cuba mengulang kembali perbuatan itu hampir setiap kali turun memancing. Umpan dilabuh di tempat yang sama, umpan atau lure yang sama terus digunakan. Alasannya, “Hari atu aku belurih di sini pakai ani”. Kadang-kadang tabiat ini akan terbawa-bawa ketika kita memancing di tempat lain, “Aku selalunya pakai umpan ani teknik ani mengasi banar.”

    Mungkin kejayaan kita ming-gu lepas atau kelmarin itu akan berulang, mungkin juga di tempat baru cara kita membuahkan hasil, rezeki tidak siapa yang tahu, tapi bagaimana pula jika sebaliknya? Bagaimana sekiranya setelah sekian lama menunggu masih tidak ada hasil yang berjaya dinaikkan? Adakah kita masih perlu menaruh harapan terhadap lubuk ‘rahsia’ kita? Terus menggunakan umpan ‘mujarab’ kegemaran kita? Kekal dengan teknik ‘terhebat’ kita? Atau terus menipu diri sendiri bahawa kita adalah seorang pemancing yang sabar dan kesabaran itu akhirnya pasti akan berbaloi?

    Seorang pemancing yang berjaya selalunya adalah seorang pemancing yang ‘bekarih’ tapi tidak bersifat degil apabila hal sedemikian berlaku. Bekarih untuk mencuba kaedah baharu sekiranya kaedah lama tidak membuahkan hasil, bekarih mencuba umpan lain sekiranya umpan yang biasa digunakan tidak mendapat sambutan, bekarih menduga lubuk-lubuk yang tidak pernah kita dida-tangi dan sebagainya. Kata orang “Jangan kurang cuba,” atau dalam erti kata lain menjadi pemancing yang tidak takut keluar dari zon selesa sendiri.

    Benar rezeki dan nasib kita tidak sama setiap hari, tetapi jangan terlalu berserah kepada nasib tanpa adanya usaha. Alang-alang menyeluk pekasam, alang-alang sudah berpenat lelah turun memancing, terkeduhung sudah lama menunggu buangkanlah sifat degil, siapa tahu dengan bekarih membuat sedikit perubahan dan mencuba sesuatu yang baru nasib kita akan berubah pada hari itu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih 30,000 orang dibawa ke hospital akibat strok haba

    TOKYO, 22 SEPT – Jepun pada Ogos menyaksikan sejumlah 34,835 individu dibawa ke hospital di seluruh negara dengan gejala strok haba, ketika negara itu...