Sunday, September 29, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dekad kedua

    Oleh Ugan Brunei Bakar –

    Tahun 2004 bermula rutin seperti tahun sebelumnya. Masih tetap menjadi guru Sains di makmal dan memegang jawatan pegawai kesejahteraan pelajar. Bulan Februari menyaksikan lantikanku sebagai Ketua Rumah Teratai, satu kejutan sebab selama tujuh tahun berturut-turut mengetuai Rumah Melur dan membawa Rumah Melur menjuarai Kejohanan Sukan Sekolah Menengah Sayyidina Husain tiga kali dalam tujuh tahun tersebut.

    Dan ramai berpendapat dan berandaian prestasi Rumah Melur akan jatuh merudum, walhal setiap hari bertugas, aku boleh saja ditemukan dan dibawa berbincang. Namun ku galas tanggungjawab memimpin dan membimbing Rumah Teratai (putih) yang pernah menduduki tangga terbawah tiga tahun berturut-turut berbanding Melur (kuning), Cempaka (hijau) dan Anggerik (ungu).

    Bulan berikutnya, bulan Mac menyaksikan peringkat saringan acara-acara olahraga balapan dan padang yang disasarkan pada peringkat akhir kejohanan pada 1 Mei 2004 di Stadium Mini Jerudong, di mana pungutan pingat begitu tidak diduga memihak kepada Rumah Cempaka, Rumah Melur tempat kedua, Rumah Teratai di tempat ketiga dan Rumah Anggerik di tempat terakhir, namun itu catatan di hari ketiga terakhir.

    Di sebalik persaingan sengit dan kemeriahan kesukanan, ada perkara yang tidak diduga berlaku namun sengaja disembunyikan dari pengetahuan umum atas nasihat Pengetua pada masa itu, Cikgu Hajah Rosni. Beliau menerima surat rasmi daripada Cikgu Apsah di Ibu pejabat Kementerian Pendidikan, yang menyatakan khidmatku lebih diperlukan di Jabatan Pendidikan Kokurikulum.

    Responsku sedikit terkejut kerana tidak disangka, tambahan lagi Cikgu Hjh Rosni beriya-iya cuba mendapatkan penjelasan dariku sama ada aku ada memohon untuk berpindah atau bertukar dan aku jawab tidak sama sekali. Nampak diraut wajah beliau, sama terkejut dan sedikit kecewa seolah-olah bakal kehilangan sesuatu yang berharga.

    Gambar Freepik
    Gambar Freepik

    Di perhimpunan mingguan, Cikgu Hajah Rosni mendedahkan pada hadirin yang sekolah bakal kehilangan dan terpaksa merelakan pemergian seorang insan yang dianggap pengasas ulung kegiatan luar sekolah selama ini.

    Tidakku sangka penghargaan tinggi dan mulia diberikan padaku selama hampir 10 tahun ku bertugas, berjuang dan berbakti di sana. Aku reda di mana saja aku bakal ditempatkan, yang penting legacy atau warisan yang ku tinggalkan akan terus dimanfaatkan oleh generasi guru dan pelajar di masa depan, khususnya lagu sekolah yangku cipta khusus bagi penukaran rasmi nama sekolah tempoh hari.

    Projek impak jerebu terhadap komposisi air hujan, penubuhan dan pelaksanaan kejohanan boling antara rumah-rumah, pengalaman kelas-kelas Menengah Satu membuat kajian sebelah malam berkenaan serangga nokturnal dan yang pasti kesudian ramai pelajar menganggapku sebagai guru kaunselor tanpa tauliah dan tidak rasmi, namun menjadi teladan sepanjang masa.

    Alhamdulillah kupanjatkan kehadrat Ilahi. Tanpaku sedari, air mata menuruni pipi mengenang detik-detik pahit manis yang tiada bandingannya. Kini kesemua bekas anak-anak muridku mungkin sudah mencecah usia empat puluh tahun ke atas dan mana-mana tarikh lahir mereka yang ku ingat, ku sampaikan ucapan melalui rangkaian radio, sekurang-kurangnya itulah tanda ingatan ku terhadap mereka. Siapalah pelajar tanpa guru, selalu kedengaran, namun siapalah guru tanpa pelajar yang turut menjadi sebahagian dari hidup dan pengalaman yang mendewasakannya.

    Pada 26 April 2004, aku menjejakkan kaki secara rasmi di tempat bertugas yang baharu.

    Jabatan Pendidikan Kokurikulum yang pada masa itu bertempat di lapan buah banglo di belakang Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Gadong. Pengarahnya masa itu, Cikgu Awang Arsad bin Abdul Adis (sekarang sudah bersara wajib pada tahun 2019 selepas menyambung kontrak pasca-persaraan usia 55 tahun).

    Kebetulan di hari yang sama, seorang lagi pegawai baharu ditukar ke sana, iaitu Cikgu Alidin bin Mohd Zainin (beliau sudah bersara wajib 2011 yang lalu). Kami berdua dibawa mengunjungi dan melawat Unit-unit Pentadbiran, Kewangan dan Setor, Latihan, Jasmani, Akli, Rohani dan Pasukan Beruniform, berkenalan hormat dengan ketua setiap unit dan rakan-rakan sejawat. Cikgu Alidin ditugaskan di Unit Jasmani yang dipimpin oleh Cikgu Haji Abang Rashidi sementara aku pula ditempatkan di Unit Akli yang dipimpin oleh Cikgu Awang Haji Mohd Abdoh (sekarang bertugas di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan).

    Hari berganti minggu dan bulan, aku diberi amanat menyelia Kegiatan Bahas Bahasa Inggeris dan juga Senilukis Antarabangsa di tahun pertamaku di Unit Akli. Sempat juga ku merasa penganjuran dan pelaksanaan Kuiz ASEAN di Dewan Raya RTB di mana negara menjadi tuan rumah dan peserta.

    Negara selepas ini menyertai lapan lagi sesi Kuiz ASEAN di Kuala Lumpur, Manila, Phnom Penh, Hanoi, Vientiane dan Bali berserta dua sesi virtual yang terpaksa ditubuhkan dan dikendalikan tidak sepertinya disebabkan wabak COVID-19 yang berleluasa di seluruh ASEAN ketika itu.

    Pada tahun kedua (2005), aku diberi peluang menganggotai dan bertugas di Unit Kewangan dan Setor di bawah pimpinan Cikgu Haji Ahmad bin Haji Hasan (bersara wajib pada tahun 2006). Banyak perkara yang ku pelajari daripada beliau, Cikgu Haji Zaini bin Haji Saidi, Cikgu Pengiran Damit, Pengiran Mahari, Awang Razemi dan Awang Nuhairi mengenai simpanan stok barang kegiatan, cara-cara pengedaran barang ke sekolah-sekolah yang memerlukan serta penelitian baki barang yang dibawa ke tahun seterusnya dan perbelanjaan tahunan jabatan.

    Hanya enam bulan aku berada di sana sebelum Cikgu Haji Abdoh memanggilku kembali ke Unit Akli bagi membantu beliau mengurus dan menyelia kegiatan senilukis antarabangsa di samping debat Bahasa Melayu dan debat Bahasa Inggeris antara sekolah-sekolah menengah dan maktab-maktab senegara.

    Bertugas di Jabatan Pendidikan Kokurikulum memberikanku perspektif luas mengenai fungsi seorang pegawai di tahap Jabatan, di tahap Unit atau Bahagian dan persendirian.

    Misi dan visi yang di war-warkan setiap bulan menambah-mantapkan lagi kepercayaan dan keyakinanku untuk merangka perancangan dan pelaksanaan setiap kegiatan dan manfaatnya kepada pembangunan sahsiah pelanggan tetap Jabatan iaitu pelajar dan guru.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda