Friday, June 28, 2024
34.1 C
Brunei

    -

    Dekad kedua

    (Siri 2)

    Oleh Ugan Brunei Bakar –

    Tahun 2007 menyaksikan perpindahan besar-besaran fizikal jabatan dari Gadong ke Perpindahan Lambak Kanan. Semua pegawai dan kakitangan jabatan bekerjasama dan berkolaborasi dalam sama-sama memindah barangan letrik, file serta perabot setiap hari kerja, menggunakan kereta sendiri serta van, pikap dan bas Kementerian Pendidikan.

    Semuanya selesai dilaksanakan dalam tiga minggu sahaja, ke dua blok bangunan tiga tingkat yang pernah digunakan sebagai asrama pelajar-pelajar Maktab Jururawat.

    Namun begitu, perisian wi-fi, Internet dan telefon landline belum lagi dipasang, apatah lagi dilengkapkan, jadinya semua tugasan dijalankan secara manual, tanpa mesin fax, tanpa e-mel. Itu menyumbang kepada penggunaan kredit handphone yang tinggi bila membuat panggilan. Ramai yang bergantung pada SMS text untuk berhubungan, masa itu belum wujud kemudahan WhatsApp, Twitter atau Instagram.

    Sebagai pengetahuan para pembaca, Jabatan Pendidikan Kokurikulum selain mengendali kejohanan sukan tempatan turut menjadi penganjur kejohanan sukan serantau, misalnya 2004 bagi acara sepak takraw sekolah-sekolah ASEAN, 2005 bagi acara golf dan 2006 bagi acara badminton.

    Pengalaman sebagai tuan rumah dan penganjur membawa banyak manfaat serta kenangan manis, antaranya bertugas di bilik sekretariat Orchid Garden Hotel (sekarang dikenali sebagai Hotel Mulia), Holiday Lodge (sekarang dikenali sebagai Star Lodge) dan Asma Hotel (sekarang dikenali sebagai Hotel Parkview), bertukar-tukar serta mencambah fikiran dengan pegawai-pegawai dari negara-negara peserta ASEAN serta membawa kontinjen membuat lawatan sambil bersiar-siar mempromosi negara (KNK).

    Keluarga membaca surah Yasin dan doa arwah selain memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarhamah. – Freepik
    Gambar Freepik

    Ampit juga ku merasa bertugas di cawangan daerah. Aku ditugaskan di Pekan Tutong pada tahun 2008 bermula 7 Januari sehingga 16 Oktober. Pernah melawat Sekolah Rendah Rambai dan Sekolah Rendah Layong serta Sekolah Rendah Muda Hashim, Sekolah Menengah Muda Hashim, Sekolah Menengah Sayyidina Othman, Bukit Beruang dan Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Birau.

    Setiap institusi sekolah punya cara tersendiri menggalas tanggungjawab mengawas dan menyelia kegiatan kokurikulum. Cawangan Daerah akan menyalurkan sebarang keperluan mereka kepada ibu pejabat di Perpindahan Lambak Kanan untuk mencukupkan permintaan serta membekalkan mana yang patut, mengikut situasi semasa. Contohnya set orkestra gulintangan, set permainan dalam, barangan olahraga dan sukan dan seumpamanya.

    Pada 18 Oktober 2008, tarikhku dipanggil bertugas semula di Perpindahan Lambak Kanan dan barulah ku sedar yang aku ditempatkan di Tutong sebab pihak pentadbiran menyangka yang isteriku masih bertugas di asrama Sekolah Menengah Sufri Bolkiah Tutong walhal beliau telah dipindahkan balik ke Sekolah Vokasional Wasan pada 1 Oktober tahun sebelumnya. Namun ku ambil baik saja perkembangan terbaharu dan hasilnya aku beloreh dapatan dan pengalaman bermakna.

    Tahun 2009 sehingga 2014 merupakan tempoh yang sesungguhnya menggugah fokusku sebagai pegawai, mencabar keyakinanku sebagai insan, namun membentuk diriku sebagai manusia yang benar-benar dewasa. Ada perancangan yang dibuat dari awal tahun terganggu dan tidak kesampaian, sementara yang tidak diduga berlaku akhirnya terjadi juga. Begitulah susun-atur rancangan dan iradat Yang Maha Menentukan, yang terbaik dan juga tidak baik.

    Pada 19 Jun 2009, hari ku sembuh dari demam namun kuduga demam yang serupa merebak kepada isteriku. Ku sarankan supaya beliau menelan Panadol dan beliau turuti, masih juga belum turun-turun panas badannya. Nampak jelas keadaan fizikalnya semakin uzur dan lemah.

    Beliau hanya menjamah dan menyentuh potongan mangga ke bibir dan lidahnya tapi enggan memakannya. Risauku bertambah bila dua hari kemudian, beliau langsung enggan bangun dan duduk, hanya berbaring sambil mulutnya kumat-kamit dan suara tidak kedengaran. Kupapah beliau ke tandas untuk membersihkan dirinya dan menyarungkan pakaiannya dan kusarankan supaya beliau dihantar segera ke Bahagian Kecemasan.

    Kedengaran berat dan sesak nafas beliau dalam perjalanan, namun sesampai di luar Bahagian Kecemasan dan stretcher didekatkan, beliau terus rebah dan tidak sedarkan diri.

    Selepas diberi bantuan pernafasan, doktor yang kebetulan bertugas mengarahkan jururawat untuk menyorong segera ke ruangan ICU (Unit Rawatan Kritikal). Beliau menyahut panggilan Ilahi pada jam 5:30 petang pada 23 Jun 2009. Hampir pitam diriku melihat grafik denyutan jantung merata dan doktor menggelengkan kepala. Keluarga kedua belah pihak mengerumuni dan memelukku dengan sedu-sedan dan esak tangis.

    Pada waktu tengah malam, subuh, syuruk dan lewat pagi, bertali arus pengunjung datang dari jauh dan dekat, malah saudara-mara dari Merapok, Lawas, Sundar, Awat-Awat, Trusan, Limbang dan Kuala Baram turun ke rumah 118, Kampung Bebatik-Kilanas bagi bertahlil, membaca surah Yasin dan doa arwah dan memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarhamah. Aku cuma duduk sugul, sedih kehilangan insan tersayang, namun reda yang Allah SWT lebih menyayangi ciptaanNya.

    Pemergiannya juga ditangisi oleh indung bapaku serta adik-beradik yang malar terhibur dengan keletah lucu serta paibunannya di dapur dan keprihatinannya pada yang kurang sihat. Kutitipkan doa semoga Allahyarhamah dilimpahi rahmat yang berterusan dan bila detik itu tiba, akan bersua kembali di Jannah. Tidak disangkalkan lagi, Allah SWT yang Maha Penyayang dan Maha Adil punya cara untuk menguji dan merahmati hamba-hambaNya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Seorang maut, bumbung runtuh di lapangan terbang Delhi

    NEW DELHI, 28 JUN - Sekurang-kurangnya seorang maut dan beberapa lagi cedera apabila sebahagian bumbung runtuh di lapangan terbang New Delhi pada hari ini,...

    Xi bertemu PM Vietnam