Monday, May 12, 2025
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dekad kedua

    (Siri 3)

    Oleh Ugan Brunei –

    Di penghujung tahun yang sama, aku terpilih bersama Cikgu Mohd Sofri dan Cikgu Hajah Selapah untuk mengiringi tiga pelajar ke Manila, Republik Filipina bagi bersaing dengan 24 pelajar yang lain dari seluruh ASEAN dalam Peraduan Serantau Kuiz ASEAN.

    Negara menduduki tangga ketujuh namun bekarih dan berkesanggupan menunjukkan kebolehan, berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, mempromosi keharmonian dan kesatuan kalangan mereka. Aku juga turut terpilih mengiringi kontinjen Kuiz ASEAN 2012 di Phnom Penh, di mana negara masih mempertahankan tempat ketujuh dan pada tahun 2014 di Hanoi, negara menyandang tempat ketiga di belakang negara tuan rumah Vietnam dan Republik Filipina. Alhamdulillah, berkat kegigihan dan istiqamah semua yang terbabit.

    Pihak jabatan turut mencalonkan diriku untuk menjadi pegawai pengiring empat pelajar negara ke acara Bahas Muhibah 4PM yang diadakan di pekarangan National University of Singapore (NUS) dari 28 hingga 31 Mei 2010. Aku menjadi saksi kehebatan Awang Mohd Yadiy dan Dayang Nurhamizah beradu suara dan kepintaran menyampaikan hujah dan memintas celahan pasukan lawan di samping mendengar tepukan gemuruh hadirin yang terhibur.

    Baruku tahu saat itu yang Singapura juga memiliki pembahas-pembahas Tionghua dan India yang fasih dan petah berbahas dalam Bahasa Melayu. Tahniah untuk semua.

    Pengalaman itu dan acara yang serupa pada tahun 2012 kuterapkan dalam acara Junior English Debate dan Bahas Bahasa Melayu tahunan yang aku kendalikan dengan disokong oleh Sekolah Menengah (SM) Muda Hashim, SM PIHM Serasa, SM Tanjung Maya, SM Lambak Kiri, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah Gadong dan Pusat Tingkatan Enam Tutong dari 2010 hingga 2013. Memangnya bahas dan debat Melayu dan Inggeris merupakan forte atau sumber kekuatanku, Alhamdulillah.

    Gambar Freepik
    Semasa melayari facebook ada kotak dialog yang berlabel Sofiasulaiman menarik perhatian penulis. – Freepik

    Dalam tempoh yang sama, ada mata-mata yang galak memerhatikan kelibat duda.

    Panahan asmara dan jodoh pertemuan memainkan peranan, namun yang bertugas sepejabat gagal menarik perhatian, walaupun setelah di kenen-kenenkan. Malah yang di luar pun tidak berhasil menambat perhatian, sehinggalah tiba tarikh 12 Mac 2012, cantik dan molek tarikh itu. Dalamku melayari Facebook yang berisi bahan-bahan menarik di persekitaran, ada kotak dialog yang berlabel Sofiasulaiman menarik perhatian. Mula-mula bertanyakan khabar dan kemudian memperkenalkan dirinya sebagai bekas pelajar MS (Maktab Sains), entah kenapa aku semacam mahu meneruskan dialog melalui SMS.

    Pada 24 Mac, aku bersua muka dengan Sofiasulaiman dan membawanya keluar makan tengah hari di salah sebuah restoran berdekatan. Namanya Pengiran Hajah Safiah binti Pengiran Haji Sulaiman dan rupanya kami sama intake MS pada tahun 1979, aku di Menengah 1A, Pengiran Hajah Safiah Menengah 1E. Bekerja sebagai counter staff di Food Safety and Quality Control Division di Kementerian Kesihatan yang pejabatnya berhampiran dengan pusing keliling Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan Stesen Minyak Panca Delima. Kami sama-sama berkongsi kisah hidup, aku duda bercerai mati, dia berpisah dengan suaminya sebab tidak mahu dimadu dan sepanjang hubungan, kami sama-sama menjalani rawatan berjadual dan sama-sama menghadiri appointment di Rumah Sakit Raja Isteri Pengiran Anak Saleha kerana sudah mencapai tahap pakej – kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol.

    Hubungan kami berdua berjalan hampir setahun. Aku yang masih ragu-ragu akan kemampuanku meneruskan hubungan itu memberanikan diri setelah didesak lembut olehnya. Ku dedahkan perkara itu kepada kedua ibu bapa yang pada mulanya sedikit terkejut, tambahan lagi sudah hampir setahun rupanya. Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang. Namun mereka faham dan dipendekkan cerita, pada 22 Mac 2013, acara bersuruh dan berkenalan dengan keluarganya dilaksanakan dan lima minggu kemudian pada 28 April, kami berdua diijab kabulkan di rumah paindungan di Kampung Madewa, Alhamdulillah.

    Seperti mana-mana rumahtangga yang didirikan atas dasar cinta, kasih dan sayang kerana Allah SWT, ianya tidak sunyi dari menghadapi pasang surut serta krisis dan konfrontasi.

    Namun semua diselesaikan cara berdiplomasi, bersikap mudah mengalah bersebab supaya yang kering dibasahkan dan yang panas disejukkan untuk mengukuhkan kerukunan rumahtangga dan berinut-inut menubuhkan baiti jannati, mawaddah warahmah Sakinah.

    Dekad kedua berakhir tahun 2014 di mana kami berdua mengembara menaiki penerbangan MAS ke London, United Kingdom untuk menghadiri acara pengurniaan ijazah anak sulungnya, Mohd Sulaiman di Dewan Royal Albert Hall. Alhamdulilah, semua berjalan lancar.

    Dekad ketiga bermula tahun 2015, usiaku baru saja mencecah 47 tahun.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda