Oleh Sim Y. H. –
TUTONG, 5 NOV – Program Sua Muka diteruskan lagi ke Kampung Layong dan Kampung Bukit Sulang, Menengah dan Panchong, Mukim Lamunin, Daerah Tutong yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Kampung Layong, Mukim Lamunin, Daerah Tutong, hari ini.
Menurut kenyataan, program tersebut adalah salah satu usaha Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Bahagian Cawangan Daerah untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa, dasar kenegaraan dan menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian serta tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.
Rombongan Jabatan Penerangan telah diketuai oleh Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan selaku Ketua Bahagian Cawangan Daerah, Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar.
Hadir pada program tersebut ialah Pemangku Ketua Kampung Layong, Awang Mohammad Noh bin Haji Mohammad Taib dan Pemangku Ketua Kampung Bukit Sulang, Menengah dan Panchong, Awang Muhammad Fitri Zulhilmi bin Haji Muhammad Shah Asnawi.
Turut hadir bagi menyampaikan taklimat kepada penduduk-penduduk kampung ialah para pegawai dari Jabatan Tenaga dan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB).
Program dimulakan dengan mukadimah daripada Haji Fathi Foad yang menekankan mengenai peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan apa jua maklumat yang terkini, dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk melalui beberapa landasan seperti Program Sua Muka dan juga melalui akhbar rasmi Pelita Brunei.
Program Sua Muka turut diisikan dengan perkongsian maklumat daripada agensi yang dijemput dan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu-isu yang dibangkitkan yang antara lain berkaitan prasarana, pengurusan dan penyelenggaraan infrastruktur, kebersihan dan kelestarian persekitaran serta kemudahan dan perkhidmatan komuniti di kawasan berkenaan serta hal-hal lain.








