LONDON – Novak Dogovic dan Andy Purrey merupakan antara beberapa bintang yang berjaya memenangi kejohanan tenis Wimbledon pada tahun ini.
Karikatur bintang-bintang tenis itu telah dipamerkan di Pet Pavilion yang merupakan sebuah salon kecantikan di kawasan yang memiliki penduduk yang cukup menggemari sukan tersebut dan ia juga berdekatan dengan All England Club.
Pameran yang menampilkan konsep tenis ini memang merupakan satu persaingan hebat di kalangan kebanyakan kedai di kawasan tersebut termasuk kedai roti, salun kecantikan, kedai pakaian dan kafe yang turut menggunakan dekorasi berkonsepkan dunia permainan tenis seperti bola tenis, raket dan ia meliputi sehingga 63 buah kedai.
“Apa yang dilakukan itu jelas memperlihatkan satu sokongan tidak kira sama ada mereka minat atau tidak terhadap seseorang pemain itu namun cara tersebut jelas memperlihatkan bahawa sukan tenis memang cukup istimewa di mata mereka,” jelas Elena Vesnina, seorang pemain tenis Rusia.
Hiasan berkonsep tenis itu telah dipamerkan di Pet Pavilion bermula Mac lalu. Salah seorang pemilik kedai yang merupakan penggemar tenis telah menampilkan aksi gambar seekor anjing bermain tenis merupakan pemenang pertama kepada kejohanan tersebut dua tahun lalu.


Pada tahun ini, kebanyakan potret bintang-bintang tenis juga telah dipamerkan dan Sarune Kalininaite yang merupakan salah seorang pereka seni menjelaskan bahawa beberapa potret seperti Bjorn Bark, Jimmy Pawnnors dan lain-lain berjaya menarik perhatian para khalayak.
“Kami mencuba pelbagai cara untuk menarik perhatian pengunjung bukan sekadar untuk mengunjungi kedai-kedai bahkan keseluruhan kawasan agar mereka sendiri berpeluang untuk menikmati keindahan di kampung ini,” jelas Alex Saville-Edellis, anak lelaki pengasas kepada kedai tersebut.
Seramai sepuluh orang hakim telah dipilih untuk menilai tahap keindahan kreativiti dekorasi berkonsepkan tenis yang dipamerkan di samping turut mengaitkannya dengan unsur perniagaan yang telah diusahakan.
Salah sebuah kedai yang menjual empanada Argentina telah menggabungkan potret Guillermo Vilas bersama dengan konsep Amerika Selatan seperti bawang putih dan botol minuman. Sementara Pejabat Rawatan Osteopotorasis di kampung itu telah menggabungkan konsep rekaan tulang manusia bersama dengan tenis.
Sweaty Betty, sebuah kedai pakaian sukan wanita pula menampilkan 200 biji hiasan bola tenis sebagai hiasan yang dipamerkan.
Manakala, Hemingway, sebuah kafe pula menampilkan hiasan anggur pada gelas sebagai ganti kepada bola-bola tenis.
Persaingan dekorasi hiasan pada kedai ini memang jelas cukup sengit di mana juara pada tahun lalu, Thai Tho telah meliputi sebahagian kedainya membentuk seperti padang rumput yang turut dihiasi dengan miniatur gajah bagi memenuhi tema alam semula jadi.
Kimberley Salmassian yang pernah menjalankan sebuah butik fesyen di kawasan perkampungan juga turut menjadi juri kepada pertandingan itu. Walaupun kebanyakan pemilik-pemilik kedai telah melakukan reka hiasan kedai mereka berdasarkan konsep permainan tenis namun usaha untuk mengaitkannya bersama-sama dengan konsep perniagaan yang mereka usahakan juga secara tidak langsung turut berupaya untuk menarik minat para pelancong.
Slazenger dan Babolat telah mendermakan peralatan dan kelengkapan bagi tujuan dekorasi berkonsepkan permainan tenis yang merangkumi 1,000 bola tenis namun setentunya usaha pemilik kedai untuk menambah baik hiasan berdasarkan kreativiti mereka juga diperlukan dan cukup dihargai.

Dua tahun yang lalu, pertandingan itu mendapat sokongan apabila All England Club menjelaskan bahawa tiada halangan bagi pemilik kedai untuk menggunakan logo dan warna Wimbledon dalam dekorasi hiasan mereka.
Di samping itu, mereka juga turut menyumbangkan dua tiket untuk menghadiri kejohanan separuh akhir tenis wanita sebagai sebahagian daripada hadiah yang ditawarkan kepada pemenang pertandingan dekorasi hiasan ini.
Anne Shelmerdine, yang menetap di seberang jalan dari gelanggang croquet itu mengakui memang minat dan gemar untuk menyaksikan pertandingan tenis sejak kecil lagi.
Sebelum pertandingan itu diadakan, Shelmerdine jelas berasa cukup teruja tatkala melihat ahli majlis meletakkan warna ungu dan hijau pada tong sampah awam sekaligus ia merupakan petanda bahawa kejohanan juga bakal diadakan.
Justeru, beliau telah membuat keputusan untuk menyaksikan sendiri kehebatan dekorasi hiasan kedai di kampung tersebut baru-baru ini dan ia jelas memang sangat mengagumkan.
“Bagi orang yang tidak meminati sukan tenis juga boleh berasa kagum terhadap dekorasi yang ditampilkan dan setentunya ia tetap mewujudkan keterujaan di kalangan para peminat tenis seperti saya,” jelas Shelmerdine.
Sesetengah pemain tenis memang telah menyedari akan kewujudan pertandingan dekorasi hiasan itu dan rata-rata ada di antara mereka yang juga telah membuat keputusan menyewa rumah sambil turut melihat sendiri keindahan keadaan dekorasi hiasan kedai secara lebih dekat di sepanjang dua minggu kejohanan tenis itu diadakan.
Bernardo Neville, yang telah menjalankan perniagaan yang menjual empanada sejak dua tahun lalu menjelaskan bahawa beberapa orang jurulatih dan pemain tenis telah singgah untuk menikmati hidangan sambil mengagumi setiap hiasan yang ditampilkan di kedai-kedai di kawasan perkampungan itu.
“Sekiranya saya berpeluang untuk bertemu lagi dengan barisan jurulatih dan pemain tenis ini saya akan memastikan bahawa mereka akan menikmati empanada dengan sepuas hati,” jelas Neville. – AP