KUALA NERUS – Gabungan kreativiti dan semangat untuk mengembalikan nostalgia kemeriahan Aidilfitri pada zaman dahulu mendorong penduduk di beberapa buah kampung menghias halaman rumah dengan ratusan lampu pelita.
Pelbagai replika direka antaranya berbentuk kapal, hiasan pelita di taman mini, kereta, basikal tua dan vespa yang sudah tidak digunakan lagi serta paling istimewa adalah pemasangan damar raya yang diperbuat daripada susunan tempurung kelapa setinggi tiga hingga empat meter.
Penduduk Kampung Padang Air, Muhammad Jailani Harun, 50, berkata tradisi memasang pelita itu bermula pada tahun 1980an dan ia semakin meriah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Saya dan keluarga mengambil masa lebih kurang seminggu untuk mencari bahan seperti tempurung dan besi untuk dibuat damar raya dan memasang lebih 250 lampu pelita di kawasan rumah.
“Alhamdulillah rumah kami turut jadi perhatian orang ramai yang lalu lalang kerana tertarik dengan pelita raya dipasang. Namun kami turut ingatkan mereka untuk jaga jarak sosial ketika bergambar dan tidak bersalaman,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya


Muhammad Jailani antara 60 individu yang menyertai pertandingan anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, ‘Pelita Raya Online Beautiful Terengganu: PKP Raya Style 2020’ yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah hampir RM8,000.
Bagi penduduk Kampung Padang Hangus, Zaleha Mat Amin, 58, sudah menjadi rutin tahunannya untuk menghias rumah dengan ratusan pelita setiap kali Aidilfitri kerana mahu mengekalkan warisan budaya Melayu yang sangat indah agar menjadi kenangan untuk anak cucunya.
“Kerajaan negeri pula ada menganjurkan pertandingan pelita raya, jadi kami sertai dan Alhamdulillah, sudah beberapa kali juga menjadi naib johan dan memenangi hadiah wang tunai yang lumayan. Cuma tahun ini, hiasan agak terbatas dan ringkas.
“Kami hanya sempat siapkan replika perahu, ‘I Love Kampung Padang Hangus’, ‘stay at home’, pelita gergasi dan ‘duduk rumah kita pasti menang’. Maklumlah kita perlu patuh pada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya yang mengambil masa lima hari untuk memasang pelita raya pada tahun ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman yang turut melawat dua rumah berkenaan, kagum dengan usaha dan kesungguhan peserta pertandingan itu yang sangat kreatif dalam membuat dekorasi pelita raya. – Bernama