Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dekorasi Ramadan tambah keceriaan perayaan

    Gambar AP

    TOLEDO – Dengan anak perempuan berusia tiga tahun duduk dalam troli beli-belah merah di Target, Aya Khalil merenung dengan penuh harapan melalui lorong-lorong kedai itu.

    Pengarang sedang dalam misi: Melihat sendiri bahawa buku anak-anaknya mengenai seorang budak lelaki dan neneknya memasak untuk perayaan Islam benar-benar dijual di kedai Target tempatan di Toledo.

    “Oh Tuhan! Ia di situ,” kata Aya sambil melihat The Night Before Eid.

    “Oh yeaaaaah!” anaknya menjerit penuh kegirangan. Aya tertawa kecil.

    Bagi Aya, ia merupakan saat yang menggembirakan sebagai seorang pengarang dan juga satu perkara besar sebagai seorang ibu.

    Antara dekorasi Ramadan yang dipamerkan di Party City di Dearborn, Michigan.
    Suzanne Jaber daripada Kedai The Eid melihat beberapa hiasan Ramadan yang dihasilkannya di syarikat di Dearborn Heights, Michigan.
    Suzanne Jaber melihat Pokok Aidilfitri Bulan Sabit Hijau yang diciptanya di Dearborn Heights, Michigan.
    Sebuah rumah dihiasi sempena Ramadan di Dearborn, Michigan.

    “Ini tidak berlaku ketika saya membesar. Ia seperti, ‘Adakah perkara benar-benar berubah sekarang?’,“ katanya. “Saya sangat gembira kini anak-anak saya sendiri akan dapat melihatnya dan mereka akan tahu bahawa cerita mereka adalah benar dan wujud di luar sana seperti sesuatu yang benar-benar normal.”

    Untuk bulan suci Ramadan tahun ini yang bermula pada penghujung Mac, Target melancarkan koleksi Ramadan dan Aidilfitri pertamanya, termasuk kit hiasan dengan rekaan bulan sabit dan pelita. Ini adalah salah satu tanda terbaharu peniaga-peniaga besar di Amerika Syarikat (AS) memenuhi keperluan pembeli Muslim.

    Ramai penduduk Muslim Amerika mengalu-alukan pengiktirafan ini, sambil memuji para peniaga yang memudahkan mereka untuk membawa keceriaan hari perayaan ke dalam keluarga masing-masing.

    “Dari dahulu lagi kedai-kedai menyediakan barangan untuk Easter dan Krismas, saya gembira kali ini melihat mereka membawa masuk barangan Ramadan,” kata Hass Beydoun dari Dearborn Heights, Michigan. “Kami mengalu-alukannya, kerana mereka menyambut budaya dan kepercayaan kami di kedai mereka.”

    Orang lain turut menyuarakan perasaan yang sama di laman web Target: “Terima kasih kerana menjadikan dekorasi Ramadan sebagai satu keutamaan,” tulis seorang pembeli.

    Namun, masih ada perdebatan mengenai kebaikan membeli perhiasan Ramadan dari syarikat besar di AS, di mana penduduk Islam membentuk bahagian kecil populasi, untuk menggalakkan perwakilan, berbanding menyokong perniagaan kecil milik orang Islam yang membuat barang-barang tersebut. Beberapa orang lain memberi amaran terhadap mengkomersialkan sambutan keagamaan secara berlebihan.

    Ramadan adalah bulan berpuasa, meningkatkan ibadah dan amal jariah. Ia sering menjadi masa untuk berkumpul dengan gembira; di media sosial, ada yang berkongsi foto rumah mereka yang dihiasi atau bertukar idea untuk hiasan DIY Ramadan dan aktiviti kanak-kanak. Ramadan diikuti oleh cuti Hari Raya Aidilfitri.

    Koleksi Ramadan dan Aidilfitri baharu Target dijual dalam talian dan di beberapa ratus kedai di kawasan dengan ramai pelanggan Islam. Peruncit itu, yang tidak memberikan angka jualan, berkata ia menerima maklum balas positif dari pembeli dan koleksi tersebut adalah sebahagian daripada komitmennya terhadap kepelbagaian dan inklusiviti.

    Peruncit pembekal barangan parti, Party City, mula menjual barangan Ramadan dan Eid pada tahun 2018 dan sejak itu meningkatkan produk tersebut di tengah permintaan yang semakin meningkat. Lebih daripada 280 kedai, terutamanya di lokasi dengan populasi Muslim yang besar, menjual barangan tersebut, termasuk lampu sulaman dan penutup meja yang bertulis ‘Ramadan Mubarak’ atau ‘Ramadan yang diberkati’.

    “Matlamat kami adalah untuk menawarkan pilihan perayaan yang asli dan inklusif kepada semua pelanggan kami, terutamanya mereka yang kurang diwakili dalam industri runcit,” kata Susan Sanderson, ketua pegawai pemasaran jenama Party City.

    Walmart Inc., peruncit terbesar negara itu, baru-baru ini mengumumkan ia akan menawarkan barangan berkaitan Ramadan dan Aidilfitri dan hanya dijual di laman web mereka, bukan di kedai fizikal.

    Walau bagaimanapun, ia merupakan satu perubahan berbanding semasa Jomana Siddiqui menerima hadiah Eid dalam bungkusan hadiah Krismas pada 2011. Pada ketika itu, Jomana, yang perniagaannya berpusat di Fullerton, California, berkata dia tidak melihat peruncit Amerika menjual barangan untuk Ramadan atau Aidilfitri. Dia cuba mendapatkan pusat membeli-belah dan kedai-kedai untuk memasang papan tanda mengiktiraf hari suci Muslim tetapi telah ditolak.

    Dari tahun 2014 hingga 2016, dia bekerjasama dengan Macy’s di pusat membeli-belah South Coast Plaza di Costa Mesa, California, untuk mereka bentuk menara dengan papan tanda ‘Salam Ramadan’ untuk satu acara. Pada tahun 2018, dia memulakan jualan barangan sendiri di kedai pop-up di Macy’s di Westminster, California.

    Malah sekarang, Jomana masih berusaha untuk meyakinkan peruncit besar untuk menjual barangan moden seperti pinggan ‘Ramadan Mubarak’ dan kertas pembungkusan hadiah sesuai untuk Ramadan dan Eid. Beliau berpendapat ramai peruncit melayan orang Muslim Amerika, yang mempunyai pelbagai bangsa dan budaya, sebagai satu entiti dan berkata mereka harus mengelak stereotaip budaya.

    “Meletak unta dan pokok kelapa sawit pada sesuatu tidak merujuk kepada orang Muslim Indonesia atau orang Muslim Mexico,” katanya.

    Fatima Siddiqui, yang tinggal di kawasan metro, Detroit dan memiliki perniagaan seni khat, menulis di Facebook bahawa di tengah-tengah kegembiraan ketika peruncit mempamerkan hiasan Ramadan, ahli komuniti tidak harus lupa untuk menyokong perniagaan kecil milik orang Muslim.

    Respons yang diterima adalah berbeza-beza. Sesetengah pembeli berkata sementara menyokong perniagaan sedemikian adalah penting, membeli daripada peniaga besar juga penting untuk menggalakkan lebih banyak perwakilan dan agar kanak-kanak Muslim merasakan perayaan tersebut. Orang lain berpendapat bahawa hiasan yang ditawarkan oleh kebanyakan perniagaan kecil sering kali mahal atau peruncit besar lebih mudah diakses. Segelintir yang lain mengesyorkan membeli daripada kedua-duanya.

    “Mengapa peruncit tidak bekerjasama dengan perniagaan kecil untuk mempamerkan produk mereka yang diperbuat daripada tangan dengan makna istimewa?” kata Fatima Siddiqui. Tahun ini, beliau menganjurkan pasar Ramadan di Canton, Michigan, di mana penjual menjual barangan termasuk sepanduk, lingkaran bunga dan dulang hidangan.

    “Hiasan Ramadan menambah keceriaan dan suasana perayaan,” katanya. “Ia membantu generasi muda kita berasa istimewa.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda