BUENOS AIRES, 1 FEB – Bekas juara Terbuka AS, Juan Martin del Potro (gambar) akan kembali ke tenis kompetitif pada ATP Terbuka Argentina minggu depan di Buenos Aires selepas dua setengah tahun mengalami kecederaan.
Pemain berusia 33 tahun itu tidak bermain sejak kecederaan lutut pada Jun 2019 di Kejohanan Kelab Queen di London.
Bekas pemain nombor tiga dunia itu telah menjalani empat pembedahan pada lututnya dan kedudukan rankingnya jatuh ke tangga 757.
Kedua-dua Terbuka Argentina dan Terbuka Rio, yang berlangsung seminggu kemudian, mengumumkan Del Potro telah diberikan wildcard untuk bersaing dalam acara itu.
Del Potro, yang sering tercedera, juga patah lutut di Shanghai Masters pada Oktober 2018 dan sebelum itu mengalami beberapa kecederaan pergelangan tangan yang juga memerlukan empat pembedahan.
Juara Terbuka AS di usia 20 tahun pada 2009, Del Potro memenangi gelaran terakhir daripada 22 gelaran jelajahnya di Indian Wells Masters pada 2018.
Kali terakhir dia bermain Terbuka Argentina ketika berusia 17 tahun pada 2006, tewas pada pusingan pertama kepada bekas pemain nombor satu dunia, Juan Carlos Ferrero. – AFP
