KUALA LUMPUR, 5 OKT – Pelumba Perancis, Joris Delbove, dinobatkan sebagai juara keseluruhan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 biarpun sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-17 pada peringkat kelapan dan terakhir dari Tangkak ke Kuala Lumpur yang berakhir di Menara Berkembar Petronas (KLCC), hari ini.
Pelumba berusia 25 tahun dari pasukan TotalEnergies itu mendominasi jersi hijau, selaku pendahulu keseluruhan, sejak peringkat kelima hingga kelapan sekali gus menamatkan saingan dengan masa keseluruhan 27 jam 17 minit 38 saat.
Delbove menewaskan pencabar terdekat Ander Halland Johannessen dari Uno-XMobility yang ketinggalan tiga saat, manakala pelumba Tudor Pro Cycling Team, Yannis Voisard di tempat ketiga dengan perbezaan tujuh saat.
“Saya akan menghargai kenangan indah yang dicipta di Malaysia dan di LTdL. Ia benar-benar pengalaman luar biasa, keindahan dan pemandangan negara Malaysia yang sangat menakjubkan dan pada masa sama perlumbaan begitu sengit,” kata Delbove selepas tamat perlumbaan.
Terdahulu, pelumba XDS Astana, Aaron Gate menjuarai peringkat terakhir LTdL 2025 selepas menamatkan saingan sejauh 180.2 kilometer dengan catatan masa 3:50:05s, diikuti Aivaras Mikutis daripada Tudor Pro Cycling Team dengan masa sama, manakala Nil Gimeno daripada Equipo Kern Pharma di tempat ketiga.Manakala, pasukan terbaik keseluruhan merupakan milik Team Polti VisitMalta (81:53:46s), diikuti oleh Unibet Tietema Rockets (81:54:39s) dan Burgos Burpellet BH (81:55:28s) di tempat ketiga.
Sementara itu, pasukan terbaik Asia telah dimenangi oleh Nusantara BYC (82:29:24s) diikuti oleh Aisan Racing Team (82:29:33s) serta tempat ketiga telah diraih oleh Thailand Continental Cycling Team (82:31:03s).
Pelumba Malaysia, Tsen Ren Bao dari pasukan St. George turut muncul sebagai pelumba terbaik Malaysia pada edisi kali ke-29, selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-34 keseluruhan. – Bernama


