Dele Alli digantung satu perlawanan

LONDON, 12 JUN – Pemain tengah Tottenham, Dele Alli telah digantung satu perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak (FA) setelah mempersenda mengenai COVID-19 dalam sebuah video di media sosial dan akan terlepas perlawanan Liga Perdana Inggeris pertama bersama pasukannya selepas musim kembali semula.

Beberapa minggu sebelum virus itu merebak di seluruh dunia, Alli menyiarkan klip video di aplikasi Snapchat di mana dia mengejek seorang lelaki Asia di ruang berlepas lapangan terbang pada bulan Februari lalu.

Pemain antarabangsa England itu dilihat memakai penutup mulut dan hidung dan video itu bertajuk “Corona whattt, tolong dengarkan.”

Alli kemudian memadamkan video itu dan membuat permohonan maaf kepada media sosial China, Weibo. Dia didakwa melakukan kesalahan oleh FA pada 26 Februari dan kesnya kini telah disiasat.

Penggantungan satu perlawanan itu bermaksud Alli akan terlepas perlawanan Tottenham menentang Manchester United pada 19 Jun ini, perlawanan pertama mereka sejak musim disambung semula.

Alli juga telah didenda £50,000 (AS$63,000) dan harus mengikuti kursus pendidikan. “Dele Alli telah digantung satu perlawanan berkuat kuasa serta merta, didenda £50,000 dan mesti menjalankan kursus pendidikan,” menurut kenyataan FA.

Setelah FA mengeluarkan penggantungan itu, Alli sekali lagi menyatakan kekesalan atas tindakannya. “Sebagai tindak balas terhadap keputusan FA, saya ingin meminta maaf sekali lagi atas segala kesalahan yang disebabkan oleh tingkah laku saya,” katanya. “Saya bersyukur kerana FA telah mengesahkan bahawa tindakan saya tidak bersifat perkauman kerana saya tidak memandang rendah perkauman dalam bentuk apa pun.

Kita semua harus berhati-hati dengan kata-kata dan tindakan yang kita gunakan dan bagaimana mereka ditafsirkan oleh orang lain,” tambahnya.

Penggantungan Alli bertukar menjadi lebih teruk buat lelaki berusia 24 tahun itu setelah pencuri membawa pisau masuk ke rumahnya baru-baru ini. – AFP

Dele Alli semasa menghadiri sesi latihan berpasukan di Pusat Latihan Enfield Tottenham Hotspur, di London. Dele Alli telah digantung satu perlawanan oleh FA setelah mengejek mengenai COVID-19. – AFP