Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Ogos – Delegasi-delegasi antarabangsa dan para peserta Kongres Ukur Asia Tenggara (SEASC) ke-14 telah diraikan dalam Majlis Makan Malam (Malam Juruukur) yang berlangsung di Dewan Serambi Suluh, Tarindak D’Seni.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Haji Suhaimi bin Haji Ghafar.
Majlis anjuran Jabatan Ukur, Institusi Geomatik Brunei (B.I.G), Royal Institution of Chartered Surveyors (RICS) Brunei Centre dan Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA) itu telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Presiden B.I.G, Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan selaku Pengarah kongres.
Objektif majlis berkenaan adalah untuk mengalu-alukan kehadiran delegasi-delegasi antarabangsa dan peserta-peserta kongres, pada masa yang sama memberi peluang kepada pakar-pakar tempatan dalam bidang pengukuran, kejuruteraan, arkitek dan disiplin-disiplin yang berkaitan untuk beramah-mesra dan berinteraksi dengan pakar antarabangsa dan berkumpul untuk mempromosikan bidang ukur.


