Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Negara bagi Persatuan Keagamaan Republik Azerbaijan, Gunduz Ismayilov bersama rombongan telah mengadakan lawatan ke Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) petang tadi dalam rangka kunjungan dua hari ke Negara Brunei Darussalam yang bermula hari ini.
Terdahulu, Gunduz Ismayilov dan delegasi telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Bangunan Tambahan KHEU, Jalan Dewan Majlis.
Rombongan itu berada di negara ini untuk memperluas hubungan dan kerjasama antara institusi di kedua-dua negara dalam bidang pengajian dan penyelidikan sains Islam serta membincangkan usaha penyelarasan dalam isu-isu Islamofobia di peringkat antarabangsa.
Rombongan juga menghadiri sesi taklimat yang diadakan di Bilik Musyawarah, Tingkat 4, Bangunan Tambahan, KHEU. Taklimat tersebut disampaikan oleh Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohamad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.