Wednesday, March 19, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Delegasi belia Komanwel dirai

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Delegasi belia Komanwel yang berada di Negara Brunei Darussalam bagi menghadiri Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Rantau Asia Komanwel bagi Belia telah diraikan dalam resepsi makan malam yang dihoskan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Turut hadir pada majlis yang diadakan di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Hotel and Country Club itu ialah Setiausaha Agung Komanwel, Patricia Scotland QC.

    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dalam ucapannya antara lain menyatakan bahawa Brunei percaya dengan pemerkasaan dan penglibatan aktif belia secara berterusan sebagai rakan-rakan strategik akan dapat merealisasikan Agenda Matlamat Pembangunan Ma-pan 2030 dan aspirasi Piagam Komanwel.

    Menurut beliau, perhimpunan peringkat tinggi berkenaan dan kehadiran Setiausaha Agung Komanwel adalah bukti komitmen dan azam bersama ke arah matlamat tersebut.

    “Apa yang paling penting dalam mesyuarat dua hari akan datang ini adalah untuk kita bersetuju dengan keutamaan dan pelan tindakan praktikal bagi belia Komanwel di rantau ini,” jelasnya.

    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan menyampaikan cenderahati kepada Patricia Scotland QC.
    Antara yang hadir pada majlis resepsi yang dihoskan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Beliau melahirkan keyakinan bahawa perhimpunan berkenaan akan mencapai objektifnya dalam menghasilkan satu pelan tindakan yang akan memberi kesan penting dengan membantu mewujudkan masa depan yang mampan dan makmur untuk belia.

    Majlis resepsi berkenaan adalah bagi mengalu-alukan pegawai-pegawai kanan yang bertanggungjawab dalam kebeliaan dari negara-negara anggota Komanwel Rantau Asia, belia-belia Asia Tenggara, pemimpin-pemimpin belia dan Sekretariat Komanwel bagi interaksi dalam kalangan perwakilan dan delegasi yang hadir.

    Turut hadir pada majlis resepsi tersebut ialah pesuruhjaya-persuruhjaya tinggi, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

    Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama dengan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Rantau Asia Komanwel bagi Belia akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Hotel Centrepoint, Gadong.

    Delegasi yang ikut serta dalam mesyuarat tersebut adalah dari Negara Brunei Darussalam, Bangladesh, India, Malaysia, Pakistan, Singapura dan Sri Lanka.

    Antara topik yang akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut adalah menyentuh mengenai penyertaan belia dalam bidang keusahawanan, isu-isu belia serantau termasuk keutamaan dan peluang belia, dan pembangunan belia.

    Mesyuarat akan dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu khusus bagi mesyuarat pegawai-pegawai kanan, pemim-pin belia dan kumpulan pekerja belia serta rakan strategik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda