Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Delegasi Brunei hadiri acara ICAO di Kanada

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Perhimpunan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) sesi ke-42 bertemakan Safe Skies, Sustainable Future telah yang diadakan di Ibu Pejabat ICAO, Montreal, Kanada bermula pada 23 September lalu.

    Perhimpunan berkenaan menghimpunkan 193 negara anggota bagi membincangkan dasar-dasar global penerbangan awam termasuk keselamatan, kapasiti dan kecekapan navigasi udara, keselamatan dan kemudahan penerbangan, pembangunan ekonomi pengangkutan udara dan perlindungan alam sekitar.

    Mewakili delegasi Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

    Semasa menyampaikan ucapan pada 24 September lalu, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi menzahirkan penghargaan Negara Brunei Darussalam atas peranan ICAO dalam memastikan sektor penerbangan global yang selamat, terjamin, cekap dan mampan.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia turut mengalu-alukan pembangunan Pelan Strategik Jangka Panjang (2026–2050) dan Triennial Business Plan ICAO yang menumpukan kepada kelestarian alam sekitar, inovasi digital dan keselamatan siber, di samping menekankan kepentingan inisiatif No Country Left Behind dalam membantu negara-negara kecil membina keupayaan serta memperkukuh pemantauan.

    Antara suasana semasa perhimpunan berkenaan.

    Negara Brunei Darussalam turut menyokong mandat dan objektif strategik ICAO melalui usaha meningkatkan kecekapan operasi serta ketahanan infrastruktur penerbangan negara.

    Keutamaan diberikan kepada penambahbaikan keselamatan dan keupayaan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan kepentingan strategik negara dalam industri penerbangan.

    Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi turut menggariskan inisiatif untuk memodenkan serta mempersiapkan infrastruktur penerbangan negara termasuk menaik taraf landasan dan kawasan pergerakan pesawat, mempertingkat sistem pemeriksaan keselamatan dan pemantauan serta penambahbaikan kemudahan aerodrom dan navigasi di LTAB.

    Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa menghadiri acara berkenaan.

    Dalam aspek alam sekitar, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia mengalu-alukan usaha ICAO dalam mempromosikan pelaksanaan Carbon Offsetting and Reduction Scheme for International Aviation (CORSIA), di samping menekankan keperluan bahan api penerbangan mampan (Sustainable Aviation Fuel – SAF) agar lebih mudah diperoleh serta berpatutan bagi mencapai matlamat nyahkarbon global termasuk pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.

    Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi turut menegaskan pengiktirafan perlu diberikan kepada syarikat penerbangan dan negara yang berada di peringkat berbeza dalam usaha nyahkarbon mereka, justeru pendekatan one-size-fits-all tidak sesuai dilaksanakan.

    Sepanjang perhimpunan, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi turut mengadakan beberapa pertemuan dua hala bersama Presiden Majlis ICAO, Tuan Yang Terutama Salvatore Sciacchitano; Setiausaha Agung ICAO, Tuan Yang Terutama Juan Carlos Salazar; Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah; Pemangku Presiden Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Qatar, Tuan Yang Terutama Mohamed bin Faleh Al-Hajri dan Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Tuan Yang Terutama Jeffrey Siow untuk menumpukan peluang kerjasama dalam bidang keselamatan penerbangan, penyelenggaraan dan pembangunan modal insan serta mengeratkan hubungan strategik.

    Mengiringi Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Mulia Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Setiausaha Pertama dan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi, Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Kanada, Yang Mulia Suzianti binti Abdul Latip serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Jabatan Penerbangan Awam.

    Delegasi Brunei ke acara berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN MTIC
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda