Tuesday, January 7, 2025
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Delegasi Brunei sertai ISYF di Singapura

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JAN – Delegasi Negara Brunei Darussalam terdiri daripada dua pelajar bersama seorang guru selaku peserta dan mentor telah menyertai Forum Belia Sains Antarabangsa ke-17, 2025 (ISYF 2025) yang berlangsung di Hwa Chong Institution, Republik Singapura bermula 6 hingga 10 Januari.

    Penyertaan delegasi berkenaan telah diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan melalui Pusat Perkembangan Pendidikan Cerdas, Pintar dan Berbakat (EDGE) dengan ISYF 2025 dianjurkan oleh Hwa Chong Institution (Bahagian Kolej) dengan sokongan dari Kementerian Pendidikan, Republik Singapura.

    Pelajar-pelajar yang mewakili Negara Brunei Darussalam ialah Awang Muhamad Azri Hazmin bin Hanafi, pelajar Tahun 12 dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains) dan Chen Po-Hua, pelajar Tahun 11 dari Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan.

    Manakala Awang Mohammad Raymie bin Haji Othman dari Maktab Sains selaku peserta (guru) dan mentor kepada para pelajar berkenaan.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat belayar kepada delegasi ialah Pemangku Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi dan Ketua Pusat EDGE, Dr Mona Aliana binti Dato Paduka Haji Mohd Alimin.

    Turut hadir ialah pegawai-pegawai dari Pusat EDGE, Kementerian Pendidikan dan para ibu bapa serta ahli keluarga pelajar.

    Forum ISYF 2025 membawa tema, Innovation Unified: Towards A Better Future, merupakan forum tahunan yang bermatlamat untuk menyediakan platform bagi pelajar-pelajar berumur 16 tahun dan 17 tahun untuk berinteraksi dengan penerima Hadiah Nobel dan saintis terkenal dalam bidang sains.

    Dr Mona Aliana bergambar ramai dengan delegasi Negara Brunei Darussalam yang menyertai ISYF 2025 di Republik Singapura. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda