Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Lebih 80 peserta terdiri daripada pakar falak, ilmuan syariah dan pegawai teknikal dari empat negara anggota telah menghadiri Muzakarah Falak Peringkat MABIMS Tahun 2025 dan Forum Perdana Hal Ehwal Islam Khas Falak yang berlangsung di Hotel Klana Resort, Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia, selama lima hari bermula 22 hingga 26 Julai ini.
Negara Brunei Darussalam telah menghantar delegasi melalui Jawatankuasa Teknikal Falak Syar’ie yang diketuai oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Haji Mohammad Albi bin Haji Ibrahim, merangkap Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Turut menyertai delegasi Brunei ialah Pemangku Juruukur Kanan, Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan, Haji Khairul Abidin bin Haji Sulaiman; Pegawai Ugama, Mahkamah-mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Awang Mohd Hairul Azerin bin Haji Mohd Jaya dan Haji Abdul Muhaimin bin Haji Damit; serta Imam Tingkat III, Masjid Sungai Liang, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), KHEU, Awang Muhammad Zulhilmi bin Mohd Jefri @ Mohammad Zull.
Muzakarah tersebut merupakan platform strategik tahunan yang mempertemukan negara anggota MABIMS yang terdiri daripada Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura bagi menyelaras pendekatan metodologi cerapan dan penetapan takwim hijri secara bersama.
Delegasi Brunei turut diberi penghormatan untuk membentangkan kertas kerja, sekali gus menyumbang kepada perkongsian ilmu dan pengalaman falak syar’ie dengan negara-negara tersebut.
Beberapa isu semasa turut dibincangkan dalam majlis tersebut termasuk kemajuan teknologi cerapan serta implikasi hukum syarak dalam penentuan awal bulan Islam.
Sebagai sebahagian daripada program, delegasi Brunei juga menyertai Forum Perdana Hal Ehwal Islam Khas Falak yang menghimpunkan cendekiawan Islam dan pengamal falak dalam memperluas kefahaman dan kesedaran awam mengenai falak syar’ie.

