Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Julai – Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei Darussalam (BRC) akan menghadiri mesyuarat teknikal persediaan dengan Federasi Antarabangsa Bulan Sabit Merah, Bulan Sabit Merah (IFRC) Country Cluster Jakarta dan Bulan Sabit Merah Indonesia (PMI) dari 10 hingga 12 Julai 2024 di Markas Besar PMI, Indonesia.
Sementara itu, rombongan delegasi dari Negara Brunei Darussalam hari ini telah berlepas bagi menghadiri mesyuarat berkenaan.
Delegasi dari negara Brunei diwakili oleh Presiden BRC, Haji Muhd Suhaimi bin Haji Ibrahim dan Mantan Pengerusi Mesyuarat Rangkaian Pertolongan Cemas SEA (SEAFAN 2023) pertama di Bandar Seri Begawan, Sheikh Kadir Abdullah iaitu Ahli Majlis BRC.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas untuk mengucapkan selamat jalan adalah Setiausaha Agung BRC, Haji Julaini Haji Latip.
Di mesyuarat itu nanti akan diadakan penyerahan kepimpinan dari BRC kepada PMI, yang akan menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Rangkaian Pertolongan Cemas SEA (SEAFAN) ke-2, 2024 yang dijangka berlangsung pada 3 September hingga 4 September 2024 di Denpasar, Bali, Indonesia.


