BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa dengan adanya kunjungan delegasi daripada Balai Pendidikan dan Pelatihan (DIKLAT) Keagamaan Surabaya, Kementerian Agama Republik Indonesia.
Delegasi seramai 35 orang anggota DIKLAT tersebut diketuai oleh Dr H Sholikin, dan diiringi oleh Ketua Seksyen DIKLAT, Dr H Machzudi.
Kehadiran delegasi telah dialu-alukan oleh Pemangku Timbalan Pendaftar (Akademik) UNISSA, Awang Hayattuddin bin Haji Moksin dan seterusnya memberikan taklimat tentang penubuhan UNISSA.
Kunjungan ini adalah bertujuan untuk mengetahui lebih dekat tentang perkembangan sistem pendidikan yang berhubungkait dengan pengajian Islam khususnya di UNISSA.
Pihak delegasi juga ingin membuka jaringan kerjasama dengan UNISSA melalui program-program pertukaran kepakaran dalam seminar-seminar atau bengkel-bengkel yang dianjurkan kedua belah pihak. Majlis dihadiri juga oleh Pengarah Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa UNISSA, Haji Sammali bin Haji Adam.
Balai DIKLAT adalah sebuah unit yang menangani bidang pendidikan dan pelatihan dalam lingkungan keagamaan di bawah Kementerian Agama Republik Indonesia.
Fungsi unit ini adalah untuk melaksanakan pendidikan dan pelatihan tenaga pentadbiran dan tenaga kerja di bawah kementerian berkenaan.