Oleh Adiman HT
BHOPAL, India, 17 Ogos – Delegasi Negara terdiri daripada sembilan peserta Sidang Kemuncak Belia India-ASEAN 2017 bersama delegasi dari negara ASEAN lainnya, malam tadi menghadiri majlis makan malam di kediaman Ketua Menteri Madhya Pradesh, Shri Shivraj Singh Chouhan.
Pada majlis itu, belia-belia dari negara ASEAN mengenakan pakaian tradisional negara masing-masing bagi memperlihatkan kepelbagaian budaya.
Shri Shivraj turut berucap mengalu-alukan para belia dan menyeru agar mereka bersemangat untuk mencapai sesuatu dalam kehidupan mereka.
“Jika anda mempunyai resolusi untuk mencapai apa yang anda sasarkan, ia tidak mustahil, namun jangan membuat sasaran minimum yang hanya akan membuahkan hasil yang kecil, sebaliknya sasarlah semaksimumnya agar hasilnya juga besar,” serunya.
Selain itu, beliau juga berharap agar delegasi belia akan mengunjungi semula Madhya Pradesh bagi melihat secara lebih meluas lagi keistimewaan yang ada di negeri berkenaan.
Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan tarian tradisi Madhya Pradesh dan pelbagai hidangan istimewa India.
Sidang kemuncak bermula 14 Ogos lalu telah membincangkan hubungan India dengan 10 negara ASEAN lain dan akan berakhir pada 19 Ogos ini.