Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Delegasi ejen pelancongan dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu berpeluang untuk mengadakan lawatan suai kenal ke Negara Brunei Darussalam, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, di sini, menyatakan lawatan itu dikendalikan oleh jabatan berkenaan dengan kerjasama daripada Royal Brunei Airlines serta rakan kongsi pelancongan tempatan.
Ia merupakan inisiatif yang diadakan sebagai kesinambungan kepada kejayaan penyertaan Brunei dalam Arabian Travel Market (ATM) 2025 di Dubai pada awal 2025, meneruskan usaha mengekalkan momentum positif daripada ekspo berkenaan serta mengukuhkan lagi strategi industri pelancongan Brunei untuk membina keberadaan di pasaran Timur Tengah, dengan Dubai dikenal pasti sebagai hab serantau utama.
Sepanjang program selama empat hari berkenaan, ejen-ejen Dubai berpeluang untuk meneroka pelbagai tarikan kebudayaan, warisan dan semula jadi Brunei dengan antara tarikan yang dilawati termasuk Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah dan pengembaraan sehari di Taman Negara Ulu Temburong.
Jadual lawatan itu juga menampilkan pengalaman Warisan Diraja, perjalanan ke dalam keturunan Diraja Brunei dan tradisi berabad-abad lamanya termasuk lawatan ke Istana Nurul Iman, Makam Sultan Bolkiah, Muzium Alat Kebesaran Diraja dan Istana Darussalam.
Pengalaman itu diakhiri dengan Pelayaran Sungai Warisan Brunei yang indah dengan kisah-kisah sejarah Diraja dan cerita rakyat yang mempamerkan penempatan tebing sungai bersejarah dan tapak mercu tanda, menawarkan pandangan yang lebih mendalam mengenai bagaimana Sungai Brunei terus membentuk identiti budaya negara.
Semasa lawatan suai kenal itu, Jabatan Kemajuan Pelancongan berpeluang untuk berinteraksi dengan ejen pelawat bagi meneroka kerjasama dan aktiviti promosi bersama pada masa hadapan.
Maklum balas awal adalah amat menggalakkan dengan para ejen merakamkan perasaan terpegun dengan hospitaliti mesra, kebersihan dan ketenangan Brunei. Ramai yang mengetengahkan kekuatan Brunei yang tidak dimanfaatkan sebagai tempat percutian yang damai dan menyegarkan bagi pelanggan mereka yang mencari pengalaman budaya yang asli, penerokaan alam semula jadi dan tempat percutian eko-mewah.
Program itu mengukuhkan lagi kerjasama berterusan Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan Lembaga Pelancongan Sarawak di bawah kempen Echoes of Borneo yang pertama kali diperkenalkan semasa sesi rangkaian dengan ejen Dubai pada Mei lalu.
Kedua-dua destinasi berkenaan terus mempromosikan konsep Destinasi Bandar Berkembar menghubungkan Dubai, Negara Brunei Darussalam dan Kuching sebagai perjalanan berbilang destinasi merentasi Borneo.
Selain penglibatan perdagangan, Jabatan Kemajuan Pelancongan, baru-baru ini, bekerjasama dengan pempengaruh yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu, Walid El Musrati untuk meningkatkan kesedaran destinasi melalui kandungan pilihan yang mempamerkan budaya, alam semula jadi dan layanan mesra Brunei.
Berdasarkan momentum itu, Jabatan Kemajuan Pelancongan akan terus memperkukuh jangkauan di pasaran Timur Tengah melalui kerjasama dengan lebih ramai pemimpin pendapat utama, inisiatif pemasaran yang disasarkan dan penyertaan dalam ekspo pelancongan utama.
Usaha-usaha itu merupakan sebahagian daripada strategi Jabatan yang lebih luas untuk meningkatkan keterlihatan Brunei, mengembangkan rangkaian pasaran dan meningkatkan ketibaan pelancong dari rantau ini.

