Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Timbalan Menteri Parlimen Hal Ehwal Luar Negeri Jepun, Ikuina Akiko mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Ketibaan Ikuina Akiko di sekolah berkenaan dialu-alukan oleh Pegarah Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Marina Chek binti Bujang dan Pengetua Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam, Hajah Nor Aisah binti Haji Mohd Salleh.
Semasa lawatan berkenaan, Ikuina Akiko berpeluang untuk berjumpa dan berinteraksi dengan pelajar-pelajar yang sedang menuntut Bahasa Jepun yang diajar oleh Cikgu Mohammad Nazriman.
Di kesempatan itu, pelajar-pelajar berkenaan berpeluang untuk bertutur dengan Timbalan Menteri Parlimen tersebut menggunakan bahasa Jepun serta turut mendendangkan sebuah lagu Jepun.
Ikuina Akiko turut menggalakkan para pelajar untuk terus mempelajari Bahasa Jepun dan meneroka dengan lebih mendalam mengenai negara Jepun.
Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam merupakan salah satu daripada tiga buah sekolah menengah kerajaan di Negara Brunei Darussalam yang terpilih bagi projek rintis selama dua tahun untuk mengajar Bahasa Jepun sebagai mata pelajaran pilihan dalam Tahun 7 dan Tahun 8.
Projek itu bermatlamat untuk meningkatkan kompetensi kebudayaan dan linguistik pada pelajar. Inisiatif berkenaan dipacu oleh beberapa faktor yang merangkumi trend ekonomi global, pertukaran kebudayaan dan penyelarasan dengan matlamat kurikulum Sistem Pendidikan Negara Abad Ke-21 (SPN21), yang mempromosikan berbilang bahasa dan mempersiapkan pelajar-pelajar menghadapi globalisasi.
Di samping itu, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengembangkan peluang pendidikan dan memupuk kerjasama antarabangsa menerusi pembelajaran bahasa.
Semua di atas: Antara suasana semasa lawatan oleh delegasi dari Jepun berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFFI ROSLI