Oleh Daniel Lim
BELAIT, 3 FEB – Delegasi dari program Nihongo Partners di bawah Yayasan Jepun meneruskan perjalanan melawat Negara Brunei Darussalam ketika mereka tiba dan melawat Kolej Anthony Abell, Seria baru-baru ini.
Wakil Jepun yang terdiri daripada guru sekolah menengah, Ishii Ayako; sukarelawan, Takeya Sachiko; pegawai kerajaan tempatan, Nihashi Nao; guru Jepun, Yakushiji Miho dan pekerja pejabat, Watanabe Airi telah dialu-alukan oleh pengetua sekolah, Steven Shim Sheau Huei.
Dalam ucapannya, Steven mengalu-alukan pengalaman indah yang akan dialami oleh kepada para pelajar sekolah berkenaan dan juga delegasi sambil menyatakan lawatan berkenaan, ” sangat penting bagi kami di Kolej Anthony Abell kerana mempelajari tentang budaya yang pelbagai di dunia boleh membolehkan kami mencapai visi kolej untuk sebuah institut yang cemerlang, berkualiti dan produktif.”
Beliau juga menyatakan bahawa pelajar sekolah berkenaan teruja untuk mengetahui tentang budaya Jepun yang terkenal dengan sejarah dan keindahannya dan berharap masa singkat mereka bersama akan membuahkan hasil kerana pengetahuan dan kenangan semasa pertukaran budaya akan kekal sepanjang hayat.
Susulan ucapannya, program diteruskan dengan persembahan guling tangan yang mana ahli rombongan turut mengambil peluang untuk mencuba dan membuat persembahan di atas pentas.
Sementara itu, ahli delegasi turut berkongsi fakta dan pengetahuan menarik tentang Jepun dan budayanya, khususnya mengenai Kereta Api Jepun dan seni membuat Teh Jepun berserta upacara yang seiring dengannya.
Ketua delegasi dari Nihongo Partners, Gan Kae menyatakan bahawa lawatan mereka bertujuan memperkenalkan bahasa dan budaya Jepun kepada pelajar Brunei.
“Selain mengajar tentang budaya dan bahasa kami, kami juga ingin mengetahui lebih lanjut tentang sejarah dan budaya Brunei; supaya kami boleh berkongsi dengan rakan dan keluarga di tanah air kami,” ujarnya.
Semua di atas: Antara aktiviti semasa lawatan berkenaan.