Wednesday, October 9, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Delegasi Malaysia lawat mahkamah, MRSB

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Mahkamah-mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri telah menerima lawatan kerja delegasi dari Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah (JKSNS), kelmarin.

    Menurut kenyataan Mahkamah Rayuan Syariah, lawatan kerja tersebut berlangsung di Bilik Persidangan Utama, Bangunan Mahkamah Besar dan Mahkamah-mahkamah Syariah, di ibu negara.

    Dalam lawatan tersebut, Ketua Hakim Syarie, Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat/Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar mengalu-alukan ketibaan delegasi JKSNS yang diketuai oleh Ketua Hakim Syarie JKSNS, Yang Amat Arif Datuk Ahadin bin Arinen.

    Turut serta dalam lawatan kerja tersebut adalah Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, Yang Arif Dato’ Mohamad Shakir bin Haji Abdul Hamid.

    Turut serta mengalu-alukan rombongan ialah panel-panel hakim Mahkamah Rayuan Syariah, hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan beberapa pegawai kanan dari Mahkamah Syariah.

    Yang Berhormat/Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie Brunei semasa mengadakan perbincangan dua hala di Bilik Persidangan Utama, Bangunan Mahkamah Besar dan Mahkamah-mahkamah Syariah. – GAMBAR SERAHAN MAHKAMAH RAYUAN SYARIAH
    GAMBAR SERAHAN MAHKAMAH RAYUAN SYARIAH

    Pada lawatan itu, delegasi Yang Amat Arif Datuk Ahadin bersama JKSM berkesempatan membuat perbincangan dua hala bersama Mahkamah Syariah Negara Brunei Darussalam yang diketuai oleh Yang Berhormat/Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie Brunei.

    Dalam perbincangan tersebut, kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan dan pengalaman dalam perkara-perkara berkaitan kehakiman syariah yang mempunyai kepentingan bersama bagi kedua-dua negara yang mana diharapkan akan dapat mengeratkan lagi hubungan antara Brunei dan Malaysia serta meningkatkan pengurusan kehakiman syariah kedua-dua pihak.

    Sementara itu, hari ini, rombongan berkenaan turut mengadakan lawatan ke Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB).

    Ketibaan rombongan dialu-alukan oleh penaung-penaung MRSB, Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong dan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Semasa lawatan itu, Ketua Hakim Syarie JKSNS ketika ditemu bual media antara lain telah mengongsikan tujuan lawatan itu adalah untuk merealisasikan Pelan Transformasi Al Falah dan seterusnya mengadakan kerjasama dua hala dengan agensi-agensi yang terlibat dalam perundangan Islam.

    Selain itu, beliau juga berharap akan ada lagi kerjasama yang erat antara kedua-dua buah negara pada masa akan datang bagi melancarkan lagi kerjasama urusan pentadbiran undang-undang Islam.

    Sebelum mengadakan lawatan sekitar masjid berkenaan, rombongan juga mendengarkan taklimat ringkas mengenai latar belakang masjid dan aktiviti-aktiviti yang diungkayahkan oleh masjid berkenaan dan berpeluang menunaikan solat Fardu Zuhur berjemaah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda