BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – Delegasi Majlis Belia Brunei (MBB) telah menyertai Latihan Kepimpinan Wanita 2025, yang berlangsung di ZHM Premiere Hotel, Padang, Sumatera Barat, Indonesia pada 11 hingga 15 Julai lalu.
Latihan kepimpinan serantau tersebut telah dianjurkan oleh Women’s Wing of the Regional Islamic Da’wah Council of Southeast Asia and the Pacific (RISEAP) bersama Pimpinan Pusat Wanita Islam Indonesia itu telah menghimpunkan pemimpin-pemimpin wanita yang beragama Islam daripada 12 buah negara, termasuk Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand, Vietnam, Myanmar, Kemboja, Sri Lanka, Filipina, Maldives dan Australia.
Wakil MBB, Dayang Nuramalnajihah @ Zulaikha binti Hanip, merupakan salah seorang peserta aktif yang mewakili Brunei dalam program lima hari tersebut. Dengan tema Empowering Muslim Women to Lead Sustainable Change through Islamic Principles, Transformative Role Models, Innovative Solutions, and Impactful Case Studies in Environmental Stewardship, program itu telah menumpukan kepada pemerkasaan wanita yang beragama Islam dalam memimpin perubahan mampan berdasarkan prinsip serta nilai Islam.
Latihan intensif itu merangkumi empat modul utama iaitu memahami prinsip Islam dalam pemeliharaan alam sekitar; kedua mencontohi tokoh wanita sebagai agen perubahan; ketiga ialah untuk merancang masa depan lestari secara kolaboratif dan yang terakhir ialah dengan menonjolkan suara wanita dalam usaha keberlanjutan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia dan Pengerusi Women’s Wing RISEAP, Dato’ Hajah Hanifah Hajar Taib; Setiausaha Agung RISEAP, Dato’ Dr Marzuki Haji Mohamad; Naib Pengerusi Women’s Wing RISEAP, Dr Hajah Rahayu binti Ismail dan Setiausaha Kehormat Women’s Wing RISEAP dari Australia, Hajah Zubeda Raihman.
Dato’ Hajah Hanifah turut menekankan dalam ucapan beliau mengenai keperluan penyertaan aktif wanita Muslim dalam pembangunan sosio-ekonomi dan dasar awam yang inklusif serta berteraskan prinsip Islam dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Wanita Muslim perlu menjadi penyumbang aktif kepada transformasi sosial dan ekonomi tanpa meninggalkan identiti serta prinsip Islam,” ujar beliau.
Di samping sesi latihan, peserta turut diraikan melalui pelbagai acara diplomasi budaya termasuk Gala Dinner yang dianjurkan oleh Gabenor Sumatera Barat, Datuak Marajo H.Mahyeldi Ansharullah dan jamuan rasmi di Rumah Gadang Baiturrahman, kediaman rasmi ibunda Wali Kota Padang, Yang Berbahagia Fadly Amran.
Delegasi turut disambut dengan persembahan tradisional Minangkabau seperti Tari Pasambahan dan Tari Piring serta hidangan istimewa tempatan seperti rendang, gulai tunjang dan lamang tapai.