Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Delegasi MMN fahami fungsi BDMD

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Dengan matlamat untuk mengetahui dengan lebih lanjut fungsi dan peranan Jabatan Kajicuca Brunei Darussalam (BDMD), seramai 15 orang ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) telah mengadakan lawatan ke BDMD, Kementerian Pengangkutan dan Infokomuniaksi (MTIC), kelmarin.

    Lawatan itu memberikan peluang kepada ahli-ahli MMN untuk mengetahui lebih dekat peranan BDMD dalam menyediakan khidmat dan maklumat cuaca serta melihat secara lebih dekat lagi sistem-sistem kaji cuaca yang terdapat di jabatan berkenaan sebagai persediaan bagi MMN yang akan datang.

    Program lawatan dimulakan di Ibu Pejabat BDMD di Kampung Anggerek Desa, dengan rombongan diberikan taklimat ringkas pengenalan jabatan yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Kaji cuaca, Dayang Rokiah binti Haji Angas.

    Rombongan seterusnya dibawa melihat peralatan pencerapan cuaca di salah satu tapak National Automatic Weather Stations (NAWS) di Ibu Pejabat BDMD, Anggerek Desa.

    Kemudian, rombongan dibawa melawat ke Pusat Ramalan Cuaca dan Taman Meteorologi di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi melihat proses, kemudahan serta sistem-sistem yang berkaitan dalam pencerapan dan penyediaan ramalan, nasihat serta amaran cuaca yang diberikan kepada pengguna seperti agensi kerajaan, swasta dan orang ramai.

    Rombongan juga melihat secara langsung bagaimana data dan maklumat cuaca dianalisis oleh ahli meteorologi yang bertugas dalam penyediaan ramalan cuaca.

    Lawatan berakhir di Bangunan Doppler Weather Surveillance Radar (DWSR) yang baru dilancarkan pada April lalu di mana rombongan berpeluang melihat secara dekat sistem DWSR yang digunakan oleh BDMD dalam memantau kejadian, pergerakan dan evolusi sistem cuaca setempat.

    Ahli-ahli MMN mendengarkan pengenalan ringkas mengenai BDMD semasa lawatan berkenaan. – Gambar oleh James Kon
    Ahli-ahli MMN melihat lebih dekat peralatan pencerapan cuaca di BDMD. – Gambar oleh James Kon
    Ahli-ahli MMN bergambar bersama pegawai-pegawai BDMD. – Gambar oleh James Kon
    Ahli-ahli MMN melawat Taman Meteorologi di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. – Gambar oleh James Kon

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda