Wednesday, October 23, 2024
22 C
Brunei

    Berita Terkini

    Delegasi MMN hadiri Perhimpunan Agung AIPA ke-45

    VIENTIANE, LAOS, 22 OKT – Majlis Mesyuarat Negara (MMN) menghadiri Perhimpunan Agung Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-45 dihoskan oleh Dewan Rakyat Republik Demokratik Rakyat Laos yang diadakan pada 18 hingga 22 Oktober di Pusat Konvensyen Nasional (NCC), Vientiane, Laos.

    Rombongan Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib dan disertai oleh 10 orang ahli MMN.

    Hadir bersama ialah Jurutulis Majlis Mesyuarat Diraja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Dr Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah dan pegawai-pegawai dari Urusetia MMN.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan bagi Perhimpunan Agung AIPA ke-45.

    Dalam titah perutusan tersebut, Baginda menekankan kepentingan tema perhimpunan AIPA, yang selaras dengan tema ASEAN Enhancing Connectivity and Resilience dalam
    meneruskan integrasi, perpaduan dan perpaduan ASEAN.

    Baginda turut menggariskan bahawa Visi Komuniti ASEAN adalah bagi mewujudkan ASEAN yang lebih berdaya tahan, inovatif dan berpaksikan rakyat, yang berfokuskan kepada pembangunan infrastruktur, pengurangan jurang pembangunan, serta integrasi ekonomi dan pertukaran antara rakyat.

    Baginda turut menekankan peranan penting parlimen dalam menyokong dan membentuk komuniti ASEAN yang berasaskan peraturan dan berteraskan rakyat.

    Negara Brunei Darussalam kekal komited dalam menyokong usaha AIPA dan yakin bahawa peranan ahli parlimen AIPA akan terus menjadi komponen penting dalam memajukan kerjasama serantau untuk kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

    Yang Di-Pertua MMN bergambar ramai semasa menghadiri Perhimpunan Agung AIPA ke-45. – GAMBAR SERAHAN JABATAN MAJLIS-MAJLIS MESYUARAT
    GAMBAR SERAHAN JABATAN MAJLIS-MAJLIS MESYUARAT
    GAMBAR SERAHAN JABATAN MAJLIS-MAJLIS MESYUARAT

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda