Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Menteri-menteri Kesihatan dan wakil-wakil dari negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ketika ini menghadiri Perhimpunan Kesihatan Sedunia Ke-78 (WHA 78) yang sedang berlangsung di Geneva, Switzerland, bermula pada 19 hingga 27 Mei.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH), di sini, menyatakan delegasi Negara Brunei Darussalam ke Perhimpunan berkenaan diketuai oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, yang juga disertai oleh Perwakilan Tetap Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland, Puan Yang Terutama Dayangku Mazlizah binti Pengiran Haji Mahalee serta beberapa orang pegawai kanan Kementerian Kesihatan.
Semasa WHA 78 dengan tema Satu Dunia Untuk Kesihatan tersebut, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dalam ucapannya semasa sesi plenari menekankan bahawa kesihatan merupakan tanggungjawab bersama dan hak sejagat dan tidak ada negara yang boleh menghadapi dan menguruskan ancaman kesihatan dengan berkesan secara bersendirian.
Yang Berhormat Dato juga menyatakan bahawa WHO merupakan pemimpin kesihatan global yang telah memberikan bimbingan dan sokongan kepada negara-negara yang berusaha untuk mengukuhkan sistem kesihatan mereka serta mengetuai penyelarasan kesihatan antarabangsa semasa kecemasan, lebih-lebih lagi ketika ancaman kepada kesihatan yang kini semakin kompleks.
Yang Berhormat Dato Seri Seria Dr Haji Mohammad Isham juga mengalu-alukan kesimpulan perbincangan Perjanjian Pandemik, yang mana perjanjian itu menunjukkan bahawa negara-negara masih boleh berkumpul untuk tujuan bersama iaitu untuk mengukuhkan kerjasama global, mengurangkan ketidaksamaan serta memastikan tiada negara yang ketinggalan.
Perjanjian itu turut memperkukuhkan makna tema Satu Dunia untuk Kesihatan, di mana perpaduan merentasi sempadan dan keadilan kesihatan bukan sekadar aspirasi tetapi telah menjadi kewajipan.
Negara Brunei Darussalam turut menekankan pentingnya penyelesaian terhadap rundingan Sistem Akses Patogen dan Perkongsian Faedah (PABS) di bawah perjanjian berkenaan, demi memastikan akses yang adil dan tepat pada masanya serta inovasi telus untuk semua negara terutamanya bagi negara membangun.
Yang Berhormat Dato juga menggesa supaya kemajuan ke arah Perlindungan Kesihatan Sejagat (UHC) dan pencapaian kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) berkaitan kesihatan dipercepatkan.
Yang Berhormat Dato juga telah mengongsi bahawa Negara Brunei Darussalam baru-baru ini melancarkan aplikasi BruHealth 5.0, versi terkini platform kesihatan digital kebangsaan yang menghubungkan individu secara terus kepada perkhidmatan kesihatan, menyokong penjagaan pencegahan dan memperkasakan orang awam untuk mengurus kesihatan mereka sendiri.
Kaedah itu mencerminkan bagaimana transformasi digital boleh mempercepatkan pencapaian UHC dengan menjadikan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses, cekap dan berpaksikan rakyat (people centred).
Seterusnya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga menyuarakan bahawa komitmen kepada Satu Dunia untuk Kesihatan juga merangkumi mereka yang mengalami ketidaksamaan kesihatan.
Negara Brunei Darussalam mengulangi keprihatinan terhadap keadaan perihal kemanusiaan yang semakin teruk di Palestin dan menyeru supaya keganasan dihentikan serta-merta dan memastikan perlindungan kepada orang awam dan pekerja kesihatan, selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Untuk itu, Negara Brunei Darussalam juga menggesa semua pihak untuk memastikan akses tanpa halangan kepada perkhidmatan kesihatan penting, bekalan perubatan dan bantuan kemanusiaan.
Perhimpunan Kesihatan Sedunia Ke-78 turut membincangkan pelbagai isu kesihatan awam dan global yang penting termasuk isu-isu berkaitan program belanjawan dan pembaharuan urustadbir, UHC, kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, kekebalan antimikrobial (antimicrobial resistance), tenaga kerja kesihatan, tindakan dan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan kesihatan serta perubahan iklim dan kesihatan.
Salah satu pencapaian utama pada perhimpunan berkenaan ialah kelulusan rasmi Perjanjian Pandemik WHO pada 20 Mei lalu, yang menandakan langkah penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan dan tindak balas global terhadap pandemik.
Perjanjian itu juga merangkumi penubuhan PABS, yang mana Negara Brunei Darussalam menyuarakan sokongan bagi memastikan akses yang adil dan tepat pada masanya kepada alat kesihatan yang penting.
Perjanjian itu diterima oleh 124 buah negara anggota tanpa sebarang bantahan rasmi serta dijangka berkuat kuasa selepas diratifikasi oleh sekurang-kurangnya 60 buah negara anggota dan penyelesaian lampiran berkaitan PABS.
Negara Brunei Darussalam menyambut baik kelulusan tersebut sebagai manifestasi perpaduan global dan komitmen bersama terhadap kesaksamaan dalam kesihatan.
Semasa di Geneva, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham juga telah membuat berbincang dengan Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Dr Dzulkefly bin Ahmad, mengenai kerjasama bidang kesihatan yang berkepentingan di antara kedua-dua buah negara dan juga serantau.